122,217 murid bakal mula persekolahan pagi esok

KOTA KINABALU (Utusan Borneo): Seramai 122,217 murid termasuk prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta murid Tahun 1 dan 2 memulakan sesi persekolahan esok di seluruh Sabah.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr. Mistirine Radin berkata, daripada jumlah itu, seramai 27,767 adalah murid prasekolah, manakala 94,450 lagi murid Tahun 1 dan 2.

Menurutnya, jumlah murid prasekolah berkenaan membabitkan 14,215 murid lelaki dan 13,552 murid perempuan.

Katanya, murid-murid Tahun 1 dan 2 adalah melibatkan Sekolah Rendah (SR) kerajaan dan bantuan kerajaan, Sekolah Agama Rendah (SAR), Sekolah Pendidikan Khas (SPK), dan swasta iaitu sekolah rendah swasta yang berdaftar dengan KPM.

“Bagi jumlah murid Tahun 1, seramai 45,100 adalah murid SR, 206 murid SAR, 23 murid SPK, dan 394 murid sekolah swasta.

“Murid Tahun 2 yang mula bersekolah adalah seramai 48,053 murid SR, 228 murid SAR, 16 murid SPK, dan 430 murid sekolah swasta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi jumlah keseluruhan murid Tahun 1 dan 2, seramai 93,153 adalah murid SR, 434 murid SAR, 39 murid SPK, dan 824 murid swasta.

Selain itu jelasnya, sejak 20 Januari lepas, seramai 18,539 murid prasekolah swasta sudah mula bersekolah.- SUMBER: UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published.