Taman Abaka dikenakan PKPD mulai Selasa

KOTA KINABALU: Taman Abaka, Ladang Table di Tawau, Sabah, akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula Selasa ini, susulan peningkatan mendadak kes COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 37 kes positif direkodkan hasil 135 ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM), setakat ini.

Beliau berkata, KKM juga mendapati berlaku peningkatan kes amat ketara dalam masa singkat di lokaliti terbabit dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Selepas membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Taman Abaka, Ladang Table, berkuat kuasa 25 Mei ini hingga 7 Jun depan.

“Pelaksanaan PKPD akan membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin, sekali gus memutuskan rantaian jangkitan di lokaliti itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seterusnya, Ismail Sabri memaklumkan, PKPD Kampung Keramat di Semporna, Sabah, akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

“Sepanjang tempoh itu, KKM sudah melakukan 138 ujian saringan dan 19 individu disahkan positif COVID19.

“KKM juga mengesahkan trend jangkitan menunjukkan penurunan dengan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif sudah dirawat,” katanya.-BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.