Kerajaan negeri terima bayaran dividen RM100 juta dari 14 GLC, badan berkanun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah hari ini telah menerima pembayaran dividen berjumlah RM100 juta daripada 14 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan agensi badan berkanun yang telah meningkat sebanyak 67.8 peratus berbanding RM59.8 juta yang dibayar pada tahun lepas.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata di bawah pentadbiran baharu, satu siri rundingan telah dilakukan bagi memastikan tanggungjawab membayar dividen dan pinjaman menjadi keutamaan setiap GLC dan badan berkanun.

“Badan berkanun dan GLC memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembangunan sosio-ekonomi rakyat serta membantu dalam pelaksanaan dasar dan program kerajaan sesuai dengan amalan tadbir urus korporat yang baik.

“Kerajaan negeri akan terus komited dalam membantu dan meningkatkan kemampuan serta daya saing badan berkanun dan GLC untuk mencapai objektif penubuhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini selepas majlis penyerahan replika cek pembayaran dividen yang diserahkan oleh wakil setiap GLC di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Menteri Kewangan II Sabah merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Rusdin Riman.

Hajiji yang juga merupakan Menteri Kewangan Sabah turut menggesa badan berkanun dan GLC untuk terus mengambil langkah mengurangkan kebergantungan dengan kerajaan negeri dan menyumbang kepada pendapatan negeri.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menerima pembayaran balik pinjaman berjumlah RM22 juta daripada lapan GLC negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *