Kluster Rumah Merah kekal jadi punca jumlah kes COVID-19 tinggi di Sabah hari ini

KOTA KINABALU: Kluster Rumah Merah di Pusat Tahanan Sementara (PTS) bertempat di Menggatal masih kekal sebagai punca kes baharu COVID-19 yang tinggi di Sabah, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata pihaknya sebelum ini telah melakukan saringam secara besar-besaran di Rumah Merah PTS Manggatal sebelum ini.

Katanya, kluster terbabit telah merekodkan sebanyak 112 kes baharu. Sementara itu, beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata daripada 429 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 213 kes iaitu 49.7 peratus adalah berpunca dari saringan kluster baharu dan kluster lain yang sedia ada termasuk kluster Rumah Merah.

“Sebanyak 124 kes iaitu 28.9 dari saringan kontak rapat di 14 daerah, saringan bergejala 44 kes iaitu 10.8 peratus, saringan komuniti 23 kes iaitu 5.3 peratus dan 25 kes atau 5.8 pula adalah dari lain-lain kategori,” katanya.

Masidi turut berkata terdapat satu kluster baharu dilaporkan di Tawau, Kluster Bukit Gemuk mencatatkan dua (2) kes hari ini dan dikesan melalui saringan kontak dari indeks yang bergejala.

Sabah hari ini telah mencatatkan jumlah kes positif baharu COVID-19 sebanyak 429 kes dengan empat kematian direkodkan iaitu tiga kes di Sandakan dan satu kes di Tuaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *