Sabah perlu bentang segera RUU anti lompat parti – PBS
KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengambil langkah sama untuk membentang dan meluluskan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu sedia mengetuai pembentangan usul itu pada persidangan DUN.
Katanya, perkara itu perlu dilakukan dalam tempoh dua bulan dari sekarang menerusi persidangan khas DUN bagi memastikan undang-undang itu dapat dikuatkuasakan di Sabah.
Beliau berkata, persidangan khas DUN itu perlu memandangkan kelulusan RUU berkenaan di Dewan Rakyat yang dinantikan sejak sekian lama tidak merangkumi ADUN di Sabah dan Sarawak.
“Jadi, penting bagi Sabah dan Sarawak untuk membentangkan undang-undang itu di peringkat negeri masing-masing.
“Satu persidangan khas mesti diadakan untuk meluluskan undang-undang ini pada peringkat negeri dalam tempoh 60 hari dari sekarang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dewan Rakyat hari ini mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.
Undi belah bahagian dimulakan pada jam 4.49 petang tadi menyaksikan 209 Ahli Parlimen menyokong, tiada yang membangkang dan 11 tidak hadir.
Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, bagi PBS kelulusan RUU itu umpama impian menjadi kenyataan selepas 37 tahun usaha parti itu untuk mewujudkan undang-undang anti lompat parti.
“Ia juga satu pengiktirafan terhadap perjuangan PBS untuk memastikan kestabilan politik, bukan saja di negeri tetapi juga negara secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata, sebagai antara perintis dalam mewujudkan undang-undang anti lompat parti, PBS sentiasa menentang perbuatan seumpama itu dan menganggap amalan lompat ‘katak’ sebagai dosa dan politik tidak berprinsip.
Katanya, melompat parti adalah perbuatan jahat, tidak adil dan tidak mempunyai etika serta adab yang baik.
“PBS cuba menghentikan lompat parti dengan meluluskan undang-undang itu di DUN Sabah pada 1988 bagi menghalang wakil rakyat berpaling tadah tetapi diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi.
“Kita bersendirian dalam perjuangan ini (ketika itu) tetapi sekarang semua usaha keras kita akhirnya berbayar,” katanya.
Amalan lompat parti di Sabah bermula seawal 1967 ketika pilihan raya negeri (PRN) yang pertama apabila ADUN Kiulu pada masa itu, Datuk Payar Juman yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun (UPKO) keluar parti dan menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Maximus berkata, sejak itu politik Sabah dicemari amalan lompat parti hingga menyebabkan ketidakstabilan politik.
Katanya, Presiden UPKO (kini Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu), Datuk Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran, mengulangi sejarah parti itu apabila meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri dengan Parti Warisan (WARISAN) pada 2018.
Dengan lulusnya RUU anti lompat parti yang dijangka diwartakan pada September depan, Maximus berkata, kestabilan politik dapat dikembalikan dan melahirkan lebih ramai ahli politik yang berprinsip dan berintegriti. – BH