1,200 bakul makanan diagihkan kepada golongan terjejas di Nabawan
NABAWAN: Sebanyak 1,200 bakul makanan telah diserahkan kepada semua wakil kampung, di sini menerusi program Sentuhan Kasih, semalam.
Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup berkata program terbabit yang dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan bermula Mac lepas adalah inisiatif pihaknya untuk meringankan bebas golongan yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19.
“Program Sentuhan Kasih ini dianjurkan oleh pejabat saya selaku Ahli Parlimen Pensiangan di mana kami prihatin kepada rakyat di bawah kawasaan jagaan saya sepanjang tempoh ini.
“Kita sedar dalam waktu ini ketika wabak COVID-19 melanda, ramai orang yang terjejas dari segi ekonomi dan pendapatan dan kami telah kenal pasti golongan sasaran tersebut.
“Kita juga berharap melalui bantuan ini dapat meringankan bebandan menyenangkan hati mereka membuat persediaan untuk menyambut Hari Natal yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini selepas pengagihan sumbangan makanan dilakukan bertempat di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nabawan, semalam.
Sementara itu, Arthur yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu turut berkata secara keseluruhannya pihaknya telah mengagihkan lebih 25,000 bakul makanan sejak PKP kepada golongan yang terjejas, di sini.
“Program kali ini merupakan program fasa keenam yang dijalankan oleh pejabat saya. meliputi seluruh kawasan parlimen Pensiangan sehingga ke Saliliran.
“Program ini akan sentiasa berjalan, sekiranya PKP atau masalah ekonomi masih berpanjangan, saya selaku wakil rakyat di parlimen ini akan berusaha untuk mencari bantuan kepada mereka yang mungkin belum menerima bantuan sebelum ini.
“Tetapi pada masa yang sama, pihak kita menerusi kementerian akan memainkan peranan untuk meyalurkanbantuan kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan secara keseluruhan sebanyak 2,600 bakul makanan diagihkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tulid dan Sook selain Nabawan, semalam.