MUIS buka pusat hemodialisis untuk bantu pesakit yang memerlukan

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah membuka pusat hemodialisis bertempat di tingkat satu Wisma Muis, Sembulan, di sini, bagi membantu pesakit yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata pembukaan pusat yang merupakan salah satu program kebajikan dari pihaknya itu merupakan hasil dari zakat perniagaan dan zakat penggajian.

“Semua ini adalah hasil sumbangan daripada pihak yang menunaikan zakat perniagaan dan zakat penggajian.

“Semua zakat yang kita terima, memang semuanya kita sampaikan, semuanya kita laksanakan dan semuanya kita berikan kepada asnaf.

“Saya fikir ini satu program yang sangat baik, kerana ia adalah untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan untuk kesihatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Arifin mengumumkan sebuah lagi pusat seumpama itu bakal dibuka di bangunan milik MUIS di Tebobon, Sepanggar, pada awal tahun hadapan di samping memberitahu pusat terbabit akan dikembangkan ke daerah lain.

“MUIS juga merancang untuk membuka pusat hemodialisis di daerah lain agar dapat membantu lebih ramai pesakit yang memerlukan perkhidmatan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyatan media yang dikeluarkan hari ini selepas menyaksikan penyerahan bayaran zakat perniagaan daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) Agrobank kepada Pusat Zakat Sabah (PZS) di Dewan Madani, Wisma Muis, semalam.

Mengulas mengenai pusat hemodialisis terbabit, Arifin berkata ia dijayakan bersama dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan dinamakan Pusat Dialisis (MUIS-NKF).

Pusat terbabit dilengkapi dengan 12 mesin hemodialisis yang berkemampuan untuk merawat sehingga 36 pesakit setiap hari, kecuali pada hari Ahad.

Ianya terbuka kepada semua pesakit yang berdaftar di bawah Bahagian Zakat dan Fitrah, yang akan menanggung kos rawatan mereka, dan juga mereka yang terdaftar di bawah Kementerian Kesihatan dan PERKESO yang menanggung sebahagian daripada kos rawatan mereka.

Dalam pada itu, Arifin turut menyeru semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkaitan di Sabah yang belum menunaikan tanggungjawab untuk membayar zakat perniagaan dan zakat penggajian masing-masing.

Katanya, Pusat Zakat Sabah (PZS) mensasarkan untuk mengutip RM90 juta zakat perniagaan untuk tahun ini dan lebih RM40 juta bagi zakat penggajian.

Arifin turut merakamkan penghargaan kepada SEDCO dan Agrobank kerana menunaikan tanggungjawab mereka setiap tahun untuk melunaskan zakat perniagaan.

“SEDCO adalah antara syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terawal menunaikan zakat perniagaan dan berharap ianya akan berterusan.

“MUIS dan SEDCO bukannya asing kerana ada beberapa program yang kita laksanakan bersama. Misalnya bersama dengan anak syarikat SEDCO, iaitu SEDCOVEST, kita melaksanakan program bazaar masjid seperti yang diadakan di Masjid Negeri dan Masjid Sandakan, dan yang terbaru yang akan kita adakan di Masjid Negeri nanti, yang akan kita namakan Bazaar Madinah.

“Dan kita juga terhutang budi kepada Agrobank yang selalu juga menunaikan tanggungjawab ini dan selalu juga bekerjasama dengan kita.

“Inilah usaha yang perlu kita teruskan bersama demi untuk membangunkan ummah, demi untuk membantu mereka daripada segi kebajikan dan yang sangat penting daripada sudut pendidikan mereka,” katanya.

Beliau memberitahu menambah hasil daripada sumbangan zakat ini telah diagihkan kepada semua asnaf yang terdaftar dengan MUIS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *