4,950 PETUGAS BARISAN HADAPAN DI PEDALAMAN SABAH TERIMA VAKSIN

KENINGAU: Seramai 4,950 petugas barisan hadapan di kawasan pedalaman Sabah akan diberikan suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan 2021 bermula hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata semua penerima fasa pertama dijangka akan selesai disuntik dua dos vaksin berkenaan pada pertengahan April depan.

“Sebanyak 22 lokasi fasiliti awam termasuk dewan masyarakat serta balai budaya telah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh zon pedalaman Sabah iaitu Keningau, Tambunan, Nabawan dan Tenom,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Zon Pedalaman Sabah di sini, hari ini.

Pada majlis itu Arthur turut menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech bersama-sama 18 lagi individu lain termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik.

Pada masa yang sama, Arthur menasihatkan penduduk kampung khususnya di kawasan pedalaman supaya tidak takut dan ragu-ragu untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Vaksin yang kita akan terima telah melalui banyak kajian dan ia terbukti selamat untuk digunakan. Jangan percaya dakwan kononnya vaksin ini memudaratkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 di Malaysia dilihat mampu membantu mengurangkan impak negatif kepada ekonomi serta membolehkan banyak sektor ekonomi dibuka semula.

“Saya jangkakan ekonomi negara akan beransur pulih dan akan berkembang bermula suku kedua tahun ini ekoran pembukaan sektor ekonomi pada ketika ini,” katanya.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *