Ketua Menteri Sabah terima suntikan vaksin COVID-19 hari ini

Oleh: Ranya Saai

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri.

Beliau merupakan antara 60 individu terawal yang menerima vaksin berkenaan bersama menteri kabinet, pegawai kerajaan negeri dan orang petugas barisan hadapan di negeri ini.

Turut menerima vaksin hari ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam,
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya.

Bagi antara golongan petugas barisan hadapan yang menerima vaksin adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Hajiji juga turut berkongsi pengalamannya dimana beliau tetap berasa sihat setelah berehat selama 30 minit selepas disuntik vaksin.

“Saya rasa biasa sahaja, tidak merasa sakit. Ia sama saja macam kita menerima suntikan kalau kita sakit.

“Jadi kita tidak perlu bimbang dan anggapan rakyat fikir bahawa menerima suntikan ini membawa mudarat adalah tidak betul.

“Ini akan melindungi kita daripada jangkitan COVID-19 dan jangan kita mendengar macam-macam cerita di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas pelancaran program bertempat di Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji dalam majlis terbabit turut merasmikan Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah sebagai Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) COVID-19 Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Hajiji turut kerajaan negeri juga telah membuka sebanyak 195 PPV di seluruh Sabah dengan bertujuan untuk meluaskan lagi liputan imunisasi lebih daripada 95 peratus dan mencapai ‘herd immunity’.

Hajiji juga turut menggesa agar tidak mendengar khabar angin negatif mengenai vaksin di samping menjelaskan kerajaan telah memberi jaminan bahawa vaksin adalah selamat kerana telah mengalami proses analisis dan kajian sebelum diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). 

“Pemberian vaksin adalah secara sukarela dan percuma kepada semua penduduk Malaysia sama ada warganegara atau bukan warganegara.

“Imunisasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri tetapi juga orang tersayang dan seluruh komuniti bersesuaian dengan slogan ini iaitu ‘Lindung Diri, Lindung Semua’.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga menyarankan Kempen Pembudayaan Norma Baharu untuk memperkasa dan meningkatkan kesedaran kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat ke arah memutuskan rangkaian COVID-19,” katanya.

Hajiji juga berkata lebih kurang 42,117 orang petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas barisan bahagian kesihatan dan kakitangan bukan kesihatan dikenal pasti sebagai penerima vaksin fasa pertama di Sabah.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.