464,864 sudah mendaftar penerima vaksin di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 464,864 individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di Sabah, setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu mewakili 15.9 peratus daripada populasi negeri ini.

Katanya, pendaftaran sebagai penerima vaksin paling banyak dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera, berbanding menerusi laman sesawang dan talian vaksinasi.

“Bilangan pendaftaran hari ini (semalam) mencatatkan sebanyak 1,654 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar setakat ini adalah seramai 464,864 orang.

“Seramai 412,698 mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera, 51,915 mendaftar menerusi laman sesawang manakala 251 pula mendaftar melalui talian vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Selain itu, mengulas mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua di Sabah, Masidi berkata seramai 876 sudah menerima suntikan vaksin harian dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15,408 orang.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata jumlah kes harian COVID-19 mencatatkan sebanyak tiga angka.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 semalam adalah sebanyak 115 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,315 kes dan tiada sebarang kes kematian direkodkan.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 94 menjadikan jumlah kumulatif

56,958 orang.

“Seramai 677 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 276 orang di hospital dan 4,401 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.