Kerajaan bantu SLS cari tapak bina pejabat
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membantu Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk mencari kawasan tanah yang sesuai untuk didirikan pejabat SLS.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, SLS banyak membantu kerajaan terutama dalam menyediakan bantuan perundangan percuma kepada rakyat.
Katanya, SLS turut terlibat dalam program Mahkamah Bergerak untuk pendaftaran lewat kad pengenalan dan surat lahir.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Eksekutif SLS yang diketuai oleh Presiden SLS Roger Chin di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Hajiji turut bersetuju dengan Roger mengenai keperluan untuk mengubah beberapa peraturan dan undang-undang kecil yang sudah lama mengikut kesesuaian waktu.
Beliau sendiri turut mengambil inisiatif mengubah undang-undang kecil yang digunakan pihak berkuasa tempatan semasa memegang jawatan sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Turut hadir, Penasihat Teknikal Undang-Undang kepada Ketua Menteri Datuk Brenndon Keith Soh; Naib Presiden SLS Mohamed Nazim Maduarin, Setiausaha SLS Ryan Soh, Timbalan Setiausaha SLS Song Wei Wan; dan Bendahari SLS Dominic James Ghani. – UTUSAN BORNEO