Pemantauan berterusan bagi masalah banjir dan tanah runtuh

KOTA MARUDU: Kerajaan negeri akan terus memantau dan mengaktifkan bantuan kepada semua mangsa yang terjejas akibat daripada masalah banjir dan tanah runtuh, khususnya di kawasan Kota Marudu, Kudat dan Pitas.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Wetrom Bahanda berkata
sejak awal minggu ini, hujan lebat berterusan telah menyebabkan masalah banjir dan tanah runtuh bagi kebanyakan kawasan di tiga daerah terbabit.

“Sejak Isnin, pusat pemindahan bagi mangsa-mangsa yang terjejas telah dibuka dan setakat ini, semua berada dalam pengurusan yang terkawal.

“Pihak kerajaan negeri dan saya sendiri sebagai pemimpin di kawasan ini akan terus memastikan keadaan ini berada dalam pemerhatian kita kerana kita tidak mahu mangsa-mangsa yang terjejas tidak dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan sesi lawatan dan ziarah kunjungan kepada mangsa-mangsa di pusat pemindahan banjir dan agihan bantuan di sekitar kawasan Kota Marudu, semalam.

Katanya, kerja-kerja bantuan dan usaha menyelamat sentiasa diadakan dan pihak-pihak berwajib sentiasa dalam keadaan bersiap siaga sekiranya menerima sebarang aduan daripada mangsa-mangsa yang terjejas.

“Syukur kerana kita semua telah bersiap siaga dan saya amat yakin bahawa pasukan-pasukan penyelamat kita yang amat berdedikasi membantu usaha-usaha menyelamat, akan bertindak pantas,” katanya lagi.

Wetrom yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau turut memberitahu bahawa masalah tanah runtuh yang berlaku di jalan utama Pitas telah diteliti dan usaha segera akan dilakukan bagi memastikan Pitas tidak akan terputus jaringan perhubungan dan pengangkutan akibat masalah itu.

“Berkenaan kejadian tanah runtuh di jalan yang kita baru lalu sebentar tadi, saya telah mengambil maklum dan akan bertindak melaporkan segera kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari jalan penyelesaian kerana kita tidak mahu keadaan itu menjadi semakin teruk sehingga menjejaskan jaringan perhubungan dan pengangkutan Pitas dengan daerah lain.

“Saya yakin JKR akan bertindak pantas dan sentiasa dalam mood sedia untuk bertindak sekiranya masalah tanah runtuh sebegini kembali berlaku dalam masa terdekat akibat daripada hujan lebat,” katanya.

Beliau turut menambah bagi kawasan Kota Marudu, bilik gerakan bencana alam turut diaktifkan bagi menerima sebarang aduan berkaitan.

“Di daerah Kota Marudu, bilik gerakan bencana alam kita beroperasi 24jam dan semua anggota kita yang bertugas bagi usaha menyelamat akan bertindak segera bagi melakukan usaha menyelamat, kerana dengan keadaan cuaca sebegini, saya rasakan pasti akan ada lagi mangsa-mangsa terjejas yang memerlukan bantuan dan diselamatkan,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *