Peniaga bundle di Korea kumpul dana bawa pulang jenazah ke Sabah

KOTA KINABALU (Harian Metro): Demi mengumpul dana bagi menampung kos penghantaran jenazah orang Sabah di Korea kembali ke Malaysia, seramai 12 peniaga bundle bersatu hati membuat jualan amal secara langsung di laman media sosial Facebook, semalam.

Idarmi Abd Kadil, 40, rakyat Sabah yang menetap di Korea berkata semuanya bermula apabila arwah Muhammad Khairul Anas Abd Gapal jatuh sakit dan perlu dibawa mendapatkan rawatan di hospital di sana.

Menurutnya, Muhammad Khairul Anas adalah kenalan kepada rakannya yang meminta bantuannya untuk dibawa ke hospital kerana tidak sihat dan dalam masa yang sama tidak fasih bertutur bahasa Korea.

“Saya membantunya sebagai rakan sama negeri. Saya mulanya membawanya pulang ke tempat saya sebelum membawanya ke hospital. Sesampai di sana pemeriksaan X-ray dan darah dibuat sebelum berjumpa doktor.

“Namun doktor memaklumkan bahawa arwah perlu membuat ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu di sebuah hospital lain dan mereka tidak dapat merawatnya selagi keputusan ujian saringan tidak diterima,” katanya ketika dihubungi.

Idarmi berkata, selepas membuat ujian saringan mereka pulang ke rumah bagaimanapun keputusan masih belum diperoleh.

“Ketika di rumah arwah mengadu sakit perut dan mahu buang air besar tetapi sangat sakit. Saya cuba tenangkan arwah dan sempat memberi makan sedikit bubur.

“Pada waktu inilah arwah berkata perutnya terlalu sakit sehingga penglihatannya menjadi gelap. Saya terkejut dan bertindak menghubungi talian kecemasan 119. Pasukan kecemasan datang tidak sampai lima minit.

“Mereka memberi bantuan pernafasan tetapi tidak boleh membawa arwah ke hospital kerana hasil ujian saringan diperlukan sebelum dibawa ke hospital. Mereka hanya mampu menunggu dan kemudian 119 mengesahkan kematian arwah pada jam 4 petang,” katanya.

Katanya, kini mereka memerlukan dana bagi penghantaran pulang jenazah Muhammad Khairul Anas kembali ke tanah kelahirannya di Tawau, Sabah.

“Kami terdiri daripada 12 peniaga bundle rakyat Malaysia di sini (Korea) membuat jualan amal di Facebook bagi mengumpul dana ini.

“Semua penjual bundle ini bersama-sama menjual barang koleksi mereka di mana 100 peratus hasil jualan akan disalurkan untuk dana pengurusan penghantaran jenazah kembali ke Sabah termasuk membayar kos menyimpan jenazah di rumah mayat di hospital sini.

“Sebelum bersiaran secara langsung, kami berbincang dan meletakkan sasaran jualan sebanyak RM40,000 selama dua jam tetapi dalam sejam lebih sudah mencecah lebih RM50,000. Namun ini belum tolak kos penghantaran barang pelanggan ke Malaysia sebelum dapat jumlah sebenar hasil jualan,” katanya.

Selain jualan, Idarmi berkata mereka mendapat sumbangan daripada orang ramai bukan sahaja dari Malaysia malah Indonesia dan Korea.

“Kami masih belum mengira jumlah dana yang diperoleh berikutan hari ini adalah hari cuti umum di sini dan agak sukar untuk berurusan.

“Jenazah arwah sekarang disimpan di rumah mayat. Satu hari anggaran kos menyimpan jenazah di sini sebanyak 500,000 won yang bersamaan dengan RM1,800 sehari. Sekarang sudah tiga hari jenazah berada di sana,” katanya.

Antara peniaga bundle yang terlibat dalam jualan amal secara ‘live’ terbabit adalah Saudagar JPKR, Nuahh Bundle, Bundle Bundle Safril Kuns, Acai Bundle Korea, Ozzy Bundle, GTO Bundle, Bundle Borneo 21, Ajushi Gwangju Bundle, Ray Bundle Korea, Selipar Manon, Muhran Laiman dan Adzlan Jainol.

Mana-mana individu yang ingin tampil menyalurkan sumbangan boleh disalurkan di akaun Idarmi di 1002-556-863449 (Woori Bank: Kod Bank 020) atau akaun bank tempatan, 160037269662 (Maybank) atas nama Nurkumala Laiman.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Idarmi di talian +82 10-4166-4517 (aplikasi WhatsApp).

Sementara itu, abang sulung arwah, Ramlee Abd Gapal, 39, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika dihubungi berkata dia maklum dengan situasi tersebut dan berasa terharu atas usaha yang dilakukan komuniti orang Sabah dan rakyat Malaysia di sana.

“Saya berasa amat terharu dengan usaha Idarmi dan semua yang membantu di sana. Kos untuk membawa jenazah arwah adik saya pulang bukanlah sikit.

“Tiada kata yang mampu saya ucapkan. Hanya Allah dapat membalasnya,” katanya. – sumber Harian Metro

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *