Saya tidak ‘pilih bulu’ untuk beri khidmat: Fairuz

Oleh: Zacherlyn E

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata beliau dipilih sebagai wakil rakyat oleh rakyat dan beliau akan berkhidmat membantu semua rakyat di DUN tersebut tanpa mengira perbezaan parti, agama dan bangsa.

Katanya, tidak timbul isu tentang ‘memilih bulu’ dalam memberikan bantuan atau menyelesaikan permasalahan rakyat DUN Pintasan.

“Prinsip saya, bila mereka memilih saya, memberi kepercayaan kepada saya, maka itu adalah amanah yang wajib saya kotakan untuk semua di DUN Pintasan, tidak kiralah siapa pun yang rakyat pangkah di kertas undi kerana itu bukanlah persoalan yang akan menjadi penghalang untuk saya sebagai ADUN turun bertemu dan mendengar semua keluhan dan rintihan mereka.

“Saya sedar, di DUN Pintasan ini masih banyak yang perlu saya lakukan untuk semua rakyat, meliputi keperluan dari segi kebajikan, masalah banjir, pendidikan anak-anak dan kekangan lain-lain yang sekaligus menjadi bebanan dan menyulitkan rakyat di sini,” kata Fairuz semasa berucap dalam sesi lawatan beliau di Pulau Mantanani pada Isnin.

Menurut Fairuz, segala permasalahan yang diluahkan oleh rakyat adalah mampu diusahakan dan diselesaikan lebih-lebih lagi dengan kerjasama daripada pelbagai pihak.

“Hari ini, penduduk-penduduk Pulau Mantanani menyatakan hasrat mereka dan segala yang mereka perlukan, misalnya masalah elektrik dan tunggakan pembayaran yang agak membebankan, masalah dokumen pengenalan diri anak-anak, warga emas yang inginkan kelas mengaji agama, masalah air minuman bersih, keperluan perubatan (klinik), bekalan elektrik yang kerap terputus dan keperluan mereka untuk memiliki pukat serta enjin bagi turun ke laut mencari rezeki menangkap ikan.

“Semua permasalahan yang mereka luahkan kepada saya hari ini pasti mampu diselesaikan kerana tidak ada satupun masalah yang tidak boleh diselesaikan, saya dan Kerajaan Negeri akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan semuanya satu per satu demi meringankan beban dan memenuhi keperluan rakyat-rakyat di DUN Pintasan,” jelasnya lagi.

Selain itu, Fairuz juga turut menziarahi Mohamad Hazwan Ronnoid Abdullah yang merupakan bapa kepada empat anak dan membuat penyerahan rumah yang dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kekuatan seramai 15 anggota, tajaan bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Pejabat Khidmat ADUN Pintasan.

2 thoughts on “Saya tidak ‘pilih bulu’ untuk beri khidmat: Fairuz

    • 02/03/2021 at 1:20 PM
      Permalink

      semoga lebih banyak usaha yg dapat dilakukan utk kepentingan rakyat seluruh Sabah… ameen

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *