KKMM KOMITED LAKSANAKAN INISIATIF JENDELA TAHUN INI

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) komited untuk terus melaksanakan inisiatif di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) tahun ini bagi memantapkan tahap kesalinghubungan serta kualiti perkhidmatan komunikasi terutamanya era pasca COVID-19 dalam menggerakkan ekonomi digital.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata sasaran yang ditetapkan tahun ini adalah menyediakan sambungan talian tetap untuk 7.5 juta premis, meluaskan liputan 4G ke 96.9 peratus kawasan berpenduduk, meningkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih kepada 35 megabit sesaat (Mbps) dan mengalihkan semua spektrum 3G kepada 4G.

“Kami berharap dapat menutup perkhidmatan 3G pada penghujung tahun ini jadi setiap orang menggunakan 4G sebagai persediaan yang lebih baik untuk 5G yang lebih pantas dan stabil,” katanya dalam sidang media khas sempena Setahun Malaysia Prihatin di sini.

Menurut Saifuddin, masyarakat umum sebenarnya tidak memerlukan 5G kerana unjuran KKMM menunjukkkan 70 peratus penggunaannya adalah oleh pihak industri manakala 30 peratus oleh orang awam.

Namun menyedari kepentingan 5G untuk perkhidmatan komunikasi lebih pantas, kerajaan telah mempercepatkan pelaksanaannya setahun lebih awal, katanya.

Pelaksanaan 5G dipercepatkan setahun awal seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Feb lalu kerana perkhidmatan itu akan memacu pembangunan ekonomi digital Malaysia ke arah aspirasi MyDigital menjelang tahun 2030.

Pelan Jendela bernilai RM21 bilion dilancarkan Ogos tahun lepas bertujuan memberi liputan yang lebih meluas dan pengalaman kualiti jalur lebar yang lebih baik untuk rakyat sebagai langkah siap siaga negara untuk beralih kepada teknologi 5G.

Ia merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa pertama yang bermula 2020 sehingga 2022 menyasarkan liputan jalur lebar mudah alih 4G diluaskan daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk, mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps, serta membolehkan sebanyak 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

Dalam fasa kedua pula akan menyaksikan peralihan kepada 5G menyusul selepas platform yang kukuh di dalam fasa pertama dicapai selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia ke-12.

Fokus KKMM itu dilihat selari dengan amanat perdana Muhyiddin sempena genap setahun beliau memimpin Kerajaan Malaysia yang menyentuh pemerkasaan ekonomi digital sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan yang menyasarkan ekonomi digital menyumbang 22.6 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025.

Bagi memastikan pelaksanaan yang efisien dan telus, Saifuddin berkata Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang ditubuhkan November tahun lepas berperanan melaksana dan memantau strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di negara ini sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Terdapat enam kluster dikenal pasti untuk menggerakkan agenda ekonomi digital dan 4IR dengan kluster infrastruktur digital dan data yang dipengerusikan Saifuddin akan meneliti inisiatif berkaitan infrastruktur digital dan data serta rangka kerja Identiti Digital Nasional.

Mengenai perancangan kerajaan terdahulu yang masih diteruskan, Saifuddin berkata KKMM mempunyai Pelan Strategik 2019-2023 ketika beliau mula menjalankan tugas pada tahun lepas dan hanya beberapa perubahan kecil dibuat untuk penambahbaikan.

“Pelan strategik 2019-2023 masih diteruskan. Bagaimanapun kita kaji semula pada pertengahan tahun lepas semata-mata kerana COVID-19 dan tiada kaitan dengan pentadbiran baharu.

“Akhir tahun ini KKMM ada pemukiman dan akan kemas kinikan kerana COVID-19 telah mengubah banyak perkara. Akan ada pelarasan tetapi pelarasan kecil apabila Rancangan Malaysia Ke-12 diumumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata walaupun terdapat kemungkinan ada beberapa perkara baharu akan dilaksanakan dan pengukuhan dibuat ke atas beberapa perkara, secara keseluruhannya dari segi dasar tiada apa-apa perubahan terlibat. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *