MADA sasar peningkatan peladang melalui Smart SBB – Ronald

ALOR SETAR: Menjelang tahun 2025, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mensasarkan pendapatan peladang yang terlibat dengan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dapat ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM2,500 hingga RM5,000.

Program SMART SBB ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam pengurusan sawah berpusat untuk mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi.

Selaras dengan pelaksanaan Program SMART SBB di kawasan MADA itu menyaksikan satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MADA dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), hari ini yang disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

MoU ini adalah untuk memperincikan komitmen yang perlu diberikan oleh pihak BERNAS kepada peladang-peladang MADA yang menyertai Program SMART SBB.

MADA bersama rakan strategiknya BERNAS telahpun melaksanakan Program SMART SBB ini pada musim 2/2021 dengan keluasan kawasan seluas 100 hektar bertempat di Kampung Tok Jering.

Program itu di bawah pengendalian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) A-IV, Batas Paip yang melibatkan seramai 32 orang peladang dengan keluasan 74.996 hektar dan Kampung Permatang Ibus di bawah pengendalian PPK C-IV Kangkong melibatkan 11 orang peladang dengan kawasan seluas 23.012 hektar.

BERNAS memberi jaminan pulangan hasil tujuh tan metrik per hektar selepas empat musim penanam padi kepada peladang yang menyertai Program Smart SBB.

Selain itu peladang turut menerima pemberian bayaran pendahuluan pada awal musim, perkongsian kos operasi ladang, perkongsian keuntungan dan bonus peningkatan hasil padi serta beberapa inisiatif yang lain seperti penyertaan di dalam program Komuniti Industri Tani (KITA) yang dianjurkan oleh BERNAS.

Konsep diperkenalkan adalah smart farming penggunaan peralatan moden untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti produk pertanian.

Bagi Musim 1/2022, MADA akan meneruskan Program SMART SBB dengan syarikat-syarikat peneraju yang berminat dengan MADA mensasarkan 10,000 hektar kawasan sawah padi akan terlibat di dalam Program SMART SBB menjelang 2025.

Adalah menjadi harapan MADA agar program SMART SBB dapat meningkatkan hasil padi daripada 5.89 tan sehektar sebelum ini kepada 7.0 tan.

Kawasan Muda merupakan kawasan jelapang padi terluas di Malaysia dengan kawasan sawah padi seluas 100,658 hektar dengan ahli-ahli peladang berjumlah 57,635 orang.

Pada majlis sama, Ronald turut menyaksikan perjanjian MoU, ditandatangani oleh pihak MAFI bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta satu lagi MoU, MADA bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang akan bertindak sebagai syarikat dan badan peneraju.

Ronald berkata setakat ini terdapat penyertaan sembilan belas syarikat peneraju termasuk LZNK yang telah menandatangani MoU dengan Kerajaan yang mensasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar.

Beliau berkata keistimewaan tambahan program melalui LZNK ini adalah dengan menampilkan elemen kebajikan kepada pembangunan asnaf melalui penawaran khidmat bimbingan, latihan serta semua kemudahan berkaitan pembangunan industri dan beras.

Tambah Ronald, kejayaan program SMART SBB sebelum ini juga telah diterjemahkan melalui pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) MAFI.

Seramai 3,811 orang pesawah telah mendapat manfaat daripada program SMART SBB melibatkan kawasan penanaman padi seluas lebih 9,500 hektar di beberapa tempat termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dan IADA Seberang Perak.

Ronald berkata peningkatan hasil padi juga cukup memberangsangkan dan sebagai contoh program SMART SBB yang dilaksanakan di Sekinchan, Selangor telah meningkatkan hasil padi daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada lapan hingga 10 tan metrik sehektar bagi musim 2/2021 dan musim 1/2022.

“Pada awalnya, hanya 83 pesawah telah menyertai program ini tetapi kini penyertaan telah melebihi 800 pesawah,” katanya dan beliau yakin dengan kesungguhan semua, program ini akan terus mencapai kejayaan besar yang seterusnya akan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan sasar. -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published.