Satu mata berharga – Kim Swee
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee menganggap satu mata yang berjaya dicuri di gelanggang Selangor, malam tadi sebagai mata yang amat berharga buat skuad Badak.
Keputusan seri 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menjadikan anak buah Kim Swee sebagai pasukan pertama yang berjaya mencuri mata di ‘kandang’ Selangor musim ini.
Kim Swee bagaimanapun mengingatkan kepada barisan pemainnya bahawa masih terlalu awal untuk mereka berasa selesa dengan aksi liga masih dalam pusingan pertama.
Katanya, Sabah kini perlu memberi fokus sepenuhnya kepada aksi getir berdepan pasukan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad ini.
“Untuk mendapatkan satu mata dengan Selangor di mana tak pernah tewas dan tak pernah seri di tempat sendiri, saya percaya itu mata yang cukup berharga.
“Kami kini sama mata (19 mata) dengan Negeri Sembilan, tapi kami akan menentukan siapa yang akan berada di tangga kedua pada hujung minggu ini.
“Jadi, ini satu lagi perlawanan yang saya jangkakan sengit dan pasti kami perlu berada pada tahap yang lebih baik berbanding apa yang kami tunjukkan hari ini,” katanya.
Sabah mempamerkan persembahan lebih memberangsangkan musim ini selepas menang enam kali, seri sekali dan kalah dua kali dalam Liga Super yang mana anak buah Kim Swee turut berjaya menarik keyakinan penyokong skuad itu untuk hadir ke stadium termasuk ketika aksi di tempat lawan.
Kim Swee turut berterima kasih terhadap sokongan yang diberikan seluruh penyokong dan berharap ia akan berterusan dalam membantu pasukannya mengharungi saingan musim ini.
“Sekarang setiap kali apabila Sabah bermain di luar Kota Kinabalu, ramai penyokong Sabah yang hadir terutamanya hari ini di Lembah Klang.
“Saya harap mereka akan terus kekal menyokong pasukan Sabah tak kira di mana kami bermain dan lebih-lebih lagi apabila beraksi di Likas. Sudah tentu kita ingin lihat penonton lebih ramai yang memberi suntikan motivasi kepada pemain,” katanya. -BH