Kim Swee dedah faktor kebangkitan Sabah
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee mendedahkan punca kebangkitan pemainnya pada babak kedua untuk menewaskan Petaling Jaya (PJ) City 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Sabah yang berdepan masalah kecederaan dan pemain tidak cergas termasuk terpaksa merehatkan kapten, Baddrol Bakhtiar serta Park Tae-Soo tampak bergelut yang menyaksikan mereka ketinggalan satu gol pada babak pertama.
Namun, perubahan ketara dipamerkan anak buah Kim Swee pada babak kedua dengan mereka berjaya mendapatkan dua gol menerusi Taiki Kagayama dan Irfan Fazail untuk membawa pulang tiga mata berharga.
Ditanya apa yang diperkatakan dalam bilik persalinan hingga corak permainan Sabah berubah 360 darjah, Kim Swee berkata ia hanyalah berkaitan kepercayaan dan kekuatan yang dimiliki skuad Sang Badak.
“Ini lebih kepada kepercayaan mengenai kekuatan kita, mempercayai antara satu sama lain sebagai satu unit walaupun dalam jangka masa pendek dan mereka (pemain) menunjukkan komitmen yang cukup tinggi.
“Dalam bola sepak ada kala kita bermain dengan begitu baik, tapi kita tidak menang. Tapi pada masa yang sama apabila kita menunjukkan kesungguhan, itu yang lebih penting di mana bila ada kesungguhan sudah tentu kita mempunyai peluang untuk mendapatkan kejayaan.
“Saya terpaksa menunggu hingga saat terakhir untuk menamakan kesebelasan utama. Saya datang dengan 22 pemain yang mana Park dan Baddrol tidak dapat bersama pasukan tapi mereka berada di hotel kerana tidak cergas sepenuhnya.
“Apabila perkara itu terjadi sudah tentu amat sukar untuk saya menamakan kesebelasan utama, tapi saya cukup bangga dengan apa yang ditunjukkan terutama pemain yang diberikan kepercayaan pertama kali,” katanya.
Sabah kekal di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul 28 mata selepas mengharungi 13 perlawanan sementara PJ City di tangga dengan 11 mata.
Sementara itu, pengendali PJ City, P Maniam menjelaskan barisan pemainnya beraksi dengan baik pada perlawanan itu, namun malangnya mereka tidak dapat mengutip sebarang mata.
“Kami bermain lebih agresif, lebih menyerang dan kami mahu memenangi perlawanan. Pemain beraksi dengan baik terutama pada babak pertama, mereka berikan segala-galanya.
“Kami menjaringkan gol dan kami mencipta banyak peluang untuk mendapatkan jaringan. Tapi babak kedua, malangnya pasukan lawan menghukum kami dengan dua gol,” katanya. -BH