‘Warisan tiada prinsip’

SHAH ALAM – Kenyataan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan menyokong sesiapa sahaja yang menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan parti itu tidak mempunyai prinsip.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, kenyataan tersebut juga menunjukkan Shafie dan Warisan sanggup ‘menjual diri’ kepada sesiapa sahaja yang berkuasa asalkan mereka diberi ruang memegang jawatan.

“Jika Shafie ada prinsip, sepatutnya prinsip itulah yang diperjuangkan tanpa mengira siapa yang menang.

Bukan melupakan prinsip hanya kerana mahu diterima oleh pemenang.

“Kenyataan Shafie juga membuktikan dia sudah tahu Warisan tidak akan menang dengan signifikan dalam pilihan raya.

Maka Shafie tiada pilihan melainkan mengikut saja mana-mana parti lain yang boleh beri Warisan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Sabtu, Shafie dilaporkan berkata, sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang memenangi PRU15 bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, ia kerana pihak yang menang pada PRU15 merupakan parti pilihan rakyat, justeru Warisan menghormati keputusan tersebut dengan menjalin kerjasama menguntungkan kepada rakyat di peringkat Persekutuan dan juga Sabah.

Mengulas lanjut, Mohd Yadzil mengharapkan rakyat sedar hakikat sebenar mengenai Warisan yang tidak mempunyai asas perjuangan.

“Warisan adalah sebuah parti yang semakin lumpuh, tidak ada prinsip, dan dipimpin oleh mereka yang sanggup menjual parti kepada sesiapa sahaja asalkan diberi sedikit kuasa,” katanya. -SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *