Sabah FC mohon maaf kepada JDT

KOTA KINABALU: Sabah FC hari ini memohon maaf kepada penyokong dan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) terhadap tingkah laku buruk peminat bola sepak yang membaling botol air ke arah padang serta kawasan teknikal di tepi padang dalam pertembungan di Stadium Likas, Jumaat lalu.

Pengurus Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir berkata apa jua yang berlaku ketika permainan di atas padang, tidak boleh dijadikan justifikasi terhadap tingkah laku buruk itu, dan beliau berharap insiden berkenaan tidak akan berulang di masa hadapan.

“Terdapat tindakan-tindakan di luar padang permainan yang Sabah tidak boleh terima. Emosi akan sentiasa memuncak semasa mana-mana perlawanan bola sepak yang kompetitif, tetapi pada masa yang sama perlu ada kawalan yang ditunjukkan semua pihak bagi mejamin keselamatan peminat, pemain dan pegawai.

“Sehubungan itu Sabah juga ingin memohon maaf kepada penyokong JDT yang berkunjung ke Stadium Likas untuk perlawanan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pertembungan Liga Super di Stadium Likas di sini, Sabah tumpas 2-1, yang membawa kepada beberapa insiden buruk, termasuk membaling botol air dan perbalahan besar dalam kalangan peminat.

Sementara itu rata-rata netizen dalam menyuarakan pandangan mereka di Facebook rasmi Kelab Bola Sepak Sabah berkata kebanyakan mereka tidak bersetuju dengan tindakan kasar yang tidak terkawal itu, dan orang yang terbabit tidak mewakili semua peminat Sabah.

Mereka turut meminta supaya pengurusan kelab mengetatkan kawalan keselamatan di stadium, terutamanya dalam permainan yang berprofil tinggi.

Salah seorang netizen berkata peminat perlu mengawal diri semasa di stadium, dan seharusnya tidak lupa kepada adab sopan walaupun semada dalam keadaan marah atau tidak puas hati.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *