Mat Don belum pasti dipanggil sertai skuad kebangsaan

KUALA LUMPUR (Berita Harian): Peluang untuk Liridon Krasniqi tersenarai menyertai latihan pusat buat kali pertama bersama skuad kebangsaan bulan depan masih 50-50.

Ia selepas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan beliau perlu membuat penilaian rapi kerana pemain naturalisasi kedua negara itu sedang beraksi bersama Newcastle Jets di Liga Australia.

Katanya, banyak perkara perlu dinilai sebelum memanggil Liridon terutama membabitkan tempoh perjalanan dan kuarantin berkaitan pandemik COVID-19 yang harus diharungi perancang tengah berusia 29 tahun itu.

Beliau bagaimanapun tetap berharap khidmat pemain kelahiran Kosovo itu dapat digunakan Harimau Malaya untuk kem latihan pusat dan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Selepas dia (Liridon) dapat pasport Malaysia memang perancangan kita nak panggil dia, tapi tidak menjadi kenyataan disebabkan COVID-19 dan perlawanan terpaksa ditangguhkan.

“Kita harap Mac nanti kita boleh panggil dia dan sudah pasti kita kena lihat (semua aspek) sebab dia sekarang berada di Australia, kalau kita panggil, dia kena kuarantin 10 hari pula.

“Jadi kita kena tengok ada keperluan atau tidak, tapi kalau diikutkan kita memang nak dia berlatih bersama Harimau Malaya Mac ini,” katanya kepada BH Sukan.

Liridon mendapat status pemain naturalisasi selepas Mohamadou Sumareh pada Februari tahun lalu dan kini dipinjamkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Newcastle Jets bersama bintang muda Indonesia, Syahrian Abimanyu.

Harimau Malaya akan mengharungi kempen kelayakan secara karnival untuk menghabiskan baki kempen kelayakan Kumpulan G pada Jun ini dengan venue perlawanan masih belum diputuskan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Selain itu, Cheng Hoe percaya bahawa Liridon atau lebih dikenali sebagai Mat Don akan mendapat pengalaman berharga dari Liga Australia yang dianggap berada pada tahap lebih tinggi berbanding Liga Malaysia.

“Kalau dia dapat bermain di Liga Australia, orang kata satu pertandingan yang kompetitif untuk dia kerana kita tahu Liga Australia satu tahap yang terbaik kerana kelab mereka juga beraksi dalam ACL (Liga Juara-Juara Asia),” katanya. -SUMBER: BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *