Sabah FC kecundang di Likas

KOTA KINABALU: Sabah FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas1-0 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) pada saingan pembukaan Liga Super 2022 di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Gol tunggal juara Liga Perdana musim lalu itu diperolehi menerusi Khair Jones pada minit ke-51 yang menerima hantaran rakan susulan sepakan percuma di depan gawang tuan rumah.

Tersentak dengan gol pendahuluan itu, skuad Sang Badak mengatur semula langkah termasuk memasukkan pemain senior, Amri Yahyah yang menggantikan pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu untuk membantu bahagian serangan.

Meskipun beberapa cubaan dilakukan Sabah FC, namun tiada yang berjaya disudahkan dengan sempurna untuk menghasilkan sekurang-kurangnya gol penyamaan bagi mengikat pasukan lawan dengan keputusan seri sehingga tamat perlawanan.

Pada babak pertama, pemain import Sabah FC, Neto Pesoa berjaya menjaringkan gol selepas tendangannya gagal ditepis penjaga gol NSFC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-24, namun dibatalkan kerana ofsaid.

Neto sekali lagi berpeluang menjaringkan gol pada minit akhir babak pertama melalui sepakan penalti yang menimbulkan bantahan pasukan NSFC. Namun tendangannya berjaya ditepis Ahmad Syihan.

Pengadil memberikan sepakan penalti pada minit ke-47 itu kepada Neto selepas pemain berasal dari Brazil itu dirempuh penjaga gol NSFC itu.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *