Rayzam Shah tekad rampas balik emas di Hanoi

JAGUH 110 meter lari berpagar negara Rayzam Shah Wan Sofian bertekad untuk membalas dendam terhadap igauan buruk dialaminya di Sukan SEA 2019 di Filipina, dengan menghadirkan kilauan emas pada aksi di Hanoi, Vietnam, bulan depan.

Pelari dari Sabah berusia 34 tahun itu yang telah membuat kemunculan enam kali di Sukan SEA, berazam untuk tampil lebih bertenaga bagi memastikan pingat emas kembali menjadi miliknya di Hanoi, yang berkemungkinan besar menjadi penampilan terakhirnya dalam temasya dwitahunan itu.

“Mungkin ini yang terakhir, kalau boleh saya mahu lebih berjaya dan balas dendam (peristiwa Sukan SEA 2019).

“Saya mahu buat yang terbaik untuk rampas kembali emas dimenangi pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur,โ€ katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi lawatan dan perjumpaan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi Datuk Nur Azmi Ahmad bersama atlet serta jurulatih e-sukan dan olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, pada Khamis.

Kontroversi di Sukan Sea Filipina kira-kira tiga tahun lepas, menyaksikan Rayzam Shah dan atlet naturalisasi tuan rumah Clinton Kingsley Bautista mencatat masa yang sama iaitu 13.97 saat dalam acara tersebut, namun pihak teknikal pertandingan memberikan kemenangan kepada Clinton berdasarkan ‘photo finish’ sekali gus membuatkan atlet negara itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Dalam pada itu, Rayzam Shah berkata, beliau yang percaya akan menjadi atlet paling senior dalam acara itu di Hanoi, tetap berwaspada dengan kemunculan beberapa atlet muda antaranya dari Filipina, Singapura dan Indonesia yang dijangka boleh menggugat impiannya meraih emas.

Sementara itu, Ketua Jurulatih olahraga kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata keinginan Rayzam Shah merampas emas sangat tinggi dan mengagumi kesungguhan dilakukan atlet itu menjelang Sukan SEA Hanoi yang berbaki kira-kira lima minggu lagi. -Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *