FAM tak mohon anjur baki aksi kelayakan Piala Dunia

KUALA LUMPUR (Berita Harian): Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan memohon untuk menjadi tuan rumah bagi menghabiskan baki aksi Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun ini.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata keputusan berkenaan diambil selepas menganggap pihaknya tidak dapat memberi jaminan untuk memenuhi kriteria ditetapkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menjadi tuan rumah.

“Kita tidak memohon kerana jaminan yang diperlukan (AFC), kami tidak boleh jamin,” kata Stuart ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

BH Sukan semalam melaporkan AFC memutuskan untuk menunda baki aksi kelayakan termasuk Kumpulan G yang membabitkan Harimau Malaysia ke Jun ini dan akan diadakan secara karnival.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John bagaimanapun menjelaskan gelanggang perlawanan masih belum diputuskan.

Katanya, gelanggang akan dipilih oleh AFC berdasarkan beberapa kriteria penting yang ditetapkan dan semua pasukan akan diberi peluang untuk memohon menjadi tuan rumah.

“Kita tak perlu minta persetujuan semua pihak (untuk pilih venue perlawanan). Kita akan pilih venue paling sesuai dari segi persiapan logistik, kesihatan, keselamatan, kuarantin ada ker tidak dan sebagainya,” kata Windsor.

Selain Malaysia, empat lagi pasukan turut bersaing dalam Kumpulan G yang berpotensi menjadi tuan rumah adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Dalam perkembangan berkaitan, Stuart menjelaskan perbincangan lanjut akan diadakan bersama pengurusan skuad kebangsaan bermula dari sekarang bagi merangka persiapan terbaik untuk menghadapi kempen kelayakan itu termasuk kemungkinan mengadakan aksi pemanas badan sebelum Jun. -SUMBER: BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *