Premier, Perdana atau Perdana Menteri Sarawak?

KUCHING: Istilah yang sesuai dalam Bahasa Kebangsaan bagi nama jawatan Ketua Menteri Sarawak yang dicadang ditukar kepada ‘Premier’, menjadi topik perbahasan pada hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini

Turut dipersoalkan apa keperluan menukar nama jawatan berkenaan, malah pemimpin pembangkang menyifatkan ia adalah tindakan ‘syok sendiri’.

Istilah ‘Premier’ itu dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini mengembalikan status Sarawak sebagai sebagai salah satu daripada tiga wilayah bersama Persekutuan Tanah Melayu dan Sabah yang membentuk Malaysia.


Ia sekali gus meletakkan Sarawak tidak boleh dianggap sama taraf dengan negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu dan status istimewa Sarawak perlu itu ditafsir dengan cara yang berbeza dengan negeri lain.

“Oleh itu, untuk memberi gambaran jelas status Sarawak berbeza dengan negeri lain adalah dicadangkan supaya nama jawatan Ketua Menteri digantikan kepada ‘Premier’.

“Seperti yang diamalkan di wilayah Komanwel lain yang penubuhannya serupa dengan Malaysia termasuk Australia dan Kanada, ketua Persekutuan disebut sebagai Perdana Menteri dan ketua wilayah yang membentuk Persekutuan disebut sebagai ‘Premier’ manakala negeri lain diketuai Ketua Menteri,” katanya.

Seramai 16 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tampil pada sesi perbahasan isu itu dengan wakil 12 Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong penuh pindaan bagi meluluskan gelaran ‘Premier’ menggantikan Ketua Menteri, manakala empat wakil pembangkang pula tidak menyokong.

Wakil GPS juga mahu Kerajaan Persekutuan mengiktiraf gelaran ‘Premier’ termasuk memastikan setiap majlis serta mesyuarat rasmi memberi keutamaan protokol kepada Premier Sarawak berbanding Ketua Menteri dan Menteri Besar negeri lain.

Perbahasan kemudian bertukar sedikit panas apabila Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) menyifatkan pindaan Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak bagi menggantikan terma pemimpin nombor satu Sarawak itu sebagai tindakan ‘syok sendiri’.

Pengerusi DAP Sarawak itu berkata, tiada keperluan untuk menukar gelaran itu hanya untuk menunjukkan perbezaan status pemimpin Sarawak berbanding negeri lain di Malaysia.

“Itu hanya syok sendiri sebab apabila Abang Johari (Ketua Menteri) keluar dari Sarawak, beliau tetap dianggap sebagai ketua menteri sama juga seperti ketua menteri negeri lain dan kami beranggapan pindaan perlembagaan ini tidak memberi apa-apa manfaat,” katanya.

Menurutnya lagi, cadangan pertukaran terma jawatan itu juga menimbulkan kekeliruan terutamanya istilah sesuai dalam Bahasa Melayu.

“Apa terjemahan yang sesuai untuk gelaran jawatan itu dalam Bahasa Melayu? Kita mahu ia ditetapkan jika mahu nama jawatan Ketua Menteri ditukar kepada Premier. Sekarang timbul kekeliruan, bukan sahaja kalangan rakyat, tetapi juga media yang tidak selaras dalam menterjemah istilah itu dalam Bahasa Melayu.

“Misalnya Berita Harian menggunakan istilah ‘Perdana’ dan ada juga media lain menyebutnya sebagai ‘Perdana Menteri’ manakala yang lain ada juga kekal menggunakan ‘Premier’,” katanya.

Seorang lagi wakil pembangkang, Violet Yong (DAP-Pending) menambah kehangatan perbahasan dengan mempersoalkan gelaran ‘Premier’ yang beliau anggap sama dengan jenama kertas tisu.

“Kenapa perlu menggunakan nama itu yang sama dengan jenama kertas tisu?,” katanya sambil menunjukkan gambar kotak produk berkenaan.

Baru Bian (PSB-Ba’kelalan) pula berkata, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu sebelum menukar terma jawatan itu.

“Di dalam Perlembagaan Persekutuan, ketua eksekutif bagi Sarawak masih disebut sebagai Ketua Menteri, jadi jika mahu menukarnya, perlu pinda dahulu Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pindaan RUU berkenaan dijangka diluluskan petang ini selepas tamat sesi perbahasan ADUN. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *