‘Belum masa untuk Sabah rasa selesa’

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menganggap masih terlalu awal untuk selesa dengan kedudukan di tangga kedua Liga Super ketika ini sambil menjangkakan perlawanan lebih sengit menanti pasukannya sebaik sahaja saingan kembali bersambung.

Kim Swee mengakui tidak menjangka anak buahnya mampu meletakkan pasukan di kedudukan sekarang apatah lagi mereka bermula dengan kekalahan pada perlawanan pertama musim ini.

Segalanya tampak berjalan lancar untuk Sabah, namun bekas pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun itu mahu barisan pemain lebih fokus dan konsisten dengan kemenangan yang diraih sekiranya mereka ingin kekal memberi saingan memburu kedudukan teratas.

“Bagi saya, kita baru sahaja main beberapa perlawanan dan saya nampak banyak lagi yang perlu diperbaiki. Walaupun sekarang kami di tangga kedua, masih awal nak cakap sebab pasukan kena terus konsisten kalau nak terus kekal sekurang-kurangnya di tempat ketiga atau kelima teratas.

“Sudah tentu saya pun tak jangka untuk berada di kedudukan sekarang, tapi apa saya boleh cakap kami berada di landasan yang betul terutamanya selepas pasukan kalah dalam perlawanan pertama.

“Tetapi pemain bangkit untuk aksi seterusnya, jadi kami memang tak akan ambil mudah dalam mana-mana perlawanan selepas ini termasuklah aksi Piala FA,” katanya.

Sabah berkongsi 15 mata dengan pasukan tangga ketiga, Negeri Sembilan dan hanya satu mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *