Kim Swee tak puas hati prestasi pemain

KOTA KINABALU: Datuk Ong Kim Swee tidak berpuas hati dengan persembahan beberapa pemain Sabah yang masih tidak menunjukkan tahap permainan sebenar hingga tewas kepada Kelantan FC dalam saingan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) di Stadium Likas, malam tadi.

Mengaku kecewa dengan kekalahan 2-1 di tangan pasukan Liga Perdana itu, pengendali Sabah FC itu berkata sikap leka pemain selepas mendahului masih berlaku dan ia antara punca skuad Sang Badak gagal melakar kemenangan meskipun bermain di laman sendiri.

Kekalahan itu katanya, turut mengecewakan penyokong Sabah FC yang mengharapkan aksi terbaik dan berkesudahan dengan kemenangan berdasarkan barisan pemain baharu skuad Sang Badak yang dilihat lebih mantap berbanding musim lalu.

“Dari segi keputusan saya tidak berpuas hati dengan beberapa pemain yang tidak menunjukkan prestasi terbaik mereka. Kita bermula agak perlahan tetapi kita mendapatkan gol yang pertama.


“Selepas gol pertama kita ‘berhenti’ bermain dan mengambil mudah. Ini adalah satu sikap negatif yang perlu diubah kerana apabila mendahului kita harus kekalkan momentum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada aksi berkenaan, Kelantan bangkit daripada ketinggalan dengan menyumbat dua gol pada minit ke-71 dan minit ke-87, manakala Sabah FC hanya menjaringkan satu gol pada permulaan babak kedua permainan.

Berikutan prestasi itu, Kim Swee berkata pihaknya akan memperbaiki semua masalah yang dikenal pasti termasuk kecederaan yang masih membelenggu beberapa pemain terutama penyerang import dari Jepun, Taiki Kagayama, Dominic Tan, Irfan Fazail dan beberapa pemain lain.

Mengenai penampilan pertama penyerang baharu dari Brazil, Neto Pessoa, Kim Swee berkata Neto baru bersama-sama kira-kira dua minggu dan masih perlu melakukan penyesuaian dengan pasukan baharunya.

“Sudah tentu banyak kelemahan perlu diperbaiki terutamanya dari segi penyudah tetapi secara keseluruhannya saya amat berpuas hati terutama kesungguhannya.

“Seorang lagi pemain import dari Brazil, Jackson De Souza pula sudah menunjukkan persefahaman yang baik dalam perlawanan malam tadi dan saya yakin kedua-dua pemain import ini akan menjadi lebih baik selepas mengharungi beberapa perlawanan selepas ini,” katanya.

Sabah FC akan bertemu Sarawak United FC dalam saingan kedua malam esok, manakala Kelantan FC akan bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC pada hari sama jam 4.15 petang. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *