Bisa ‘otai’ julang Sabah FC
PENYERANG ‘otai’ Sabah FC, Amri Yahyah membuktikan dirinya masih berbisa apabila meledak dua gol bagi membantu kemenangan 2-1 ke atas Melaka United FC (MUFC), pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.
Biarpun ketinggalan 0-1 pada babak pertama, namun kemasukan Amri pada babak kedua nyata berjaya mengubah keputusan perlawanan menerusi dua gol jaringan pemain berusia 41 tahun itu.
Masih segar dengan kemenangan 4-1 ke atas Penang FC 26 Julai lalu, MUFC dilihat bermula garang dengan melancarkan asakan-asakan berbahaya ke pintu gol tuan rumah sebaik wisel permulaan.
Hasilnya, penyerang import, Ifedayo Olusegun memanfaatkan keadaan kelam-kabut di depan pintu gol Sabah FC bagi membuka jaringan pada minit ke-23.
Tersentak dengan gol berkenaan, kesebelasan Sabah FC mula bangkit mengatur asakan ke pintu gol pelawat dalam usaha menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun asakan-asakan yang dihasilkan gagal menepati sasaran bagi menyaksikan pelawat selesa memimpin perlawanan hingga tamat babak pertama.
Babak kedua menyaksikan Sabah FC semakin menggadakan asakan dalam usaha menjaringkan gol penyamaan dan hasilnya, Amri yang dimasukkan pada babak kedua berjaya meledak gol penyamaan hasil rembatan padu dalam kotak penalti pada minit ke-64.
Gol berkenaan dilihat mula menyemarakkan semangat kesebelasan Sabah FC untuk terus mengasak bagai menambah jaringan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-78, namun pemain gantian Farhan Roslan gagal memanfaatkan peluang di depan pintu gol tuan rumah.
Seminit kemudian, MUFC pula berpeluang menjaringkan gol, namun pemain import Sony Norde gagal menewaskan penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Amri sekali lagi memanfaatkan peluang di depan pintu gol pelawat bagi menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan Sabah FC pada masa kecederaan.
Kemenangan berkenaan juga menyaksikan Sabah FC mengukuhkan kedudukan pada tangga kedua Liga Super dengan 31 mata hasil 10 kemenangan, seri sekali dan tewas tiga kali daripada 14 perlawanan setakat ini. -SH