Sabah pintas JDT di puncak liga selepas benam Pahang

KUALA LUMPUR: Sabah FC memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga teratas Liga Super selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Kemenangan ketiga berturut-turut dilakar anak buah Datuk Ong Kim Swee itu membolehkan mereka berkelebihan dua mata mengatasi skuad Harimau Selatan yang setakat ini hanya beraksi enam perlawanan.

Skuad Badak tidak perlu menunggu lama untuk mendahului apabila membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi penyudah jarak dekat Neto Pessoa.

Gawang skuad Tok Gajah bocor lagi lapan minit berselang selepas Taiki Kagayama mudah melepasi kawalan pemain pelawat dan melepaskan rembatan kencang menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin untuk gol kedua tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Manuel Hidalgo pada minit ke-60 sebelum Zarif Irfan menyelamatkan penalti Pessoa pada minit ke-75. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *