Penjawat awam yang salah guna surat rentas daerah akan berdepan tatatertib – Samsuni

PAPAR: Penjawat awam yang menyalahgunakan surat kebenaran rentas daerah bakal berdepan berdepan dengan tindakan tatatertib.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor menegaskan individu yang melakukan kesalahan terbabit akan dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. 

“Kita menasihatkan para penjawat awam yang merentas daerah untuk hadir ke pejabat agar tidak menyalahgunakan surat kebenaran yang diberikan oleh ketua jabatan masing-masing.

“Sekiranya berlaku, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Samsuni setakat ini, pihaknya tiada menerima sebarang laporan mengenai tindakan kompaun ke atas penjawat awam oleh Polis Kontinjen Sabah berhubung kesalahan tersebut.

Dalam pada itu, Samsuni yang ditemui di Sekatan Jalan Raya (SJR) Daerah Papar pada Selasa, turut menggesa para penjawat awam agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berkuat kuasa.

“Walaupun laporan kes COVID-19 di Sabah kini menunjukkan penurunan, kita sarankan para penjawat awam yang turun bekerja supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Ini termasuklah amalan norma-norma baharu dengan memastikan 3W dan mengelakkan 3S sama ada ketika berada di pejabat mahupun di luar,” katanya selepas menyampaikan sumbangan 600 keping pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada para petugas barisan hadapan serta pengguna jalan raya di SJR Papar. 

Hadir mengiringi beliau, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) merangkap Pengerusi Persatuan Kakitangan Awam Persekutuan Sabah (PEKAPS) Sadim Abdul, Pegawai Daerah, Ghulam Rasul Hapil dan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan 
Batholomew Anak Umpit, sebelum melawat ke Pusat Kuarantin Dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) COVID-19 di Dewan Rakan Muda di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah, dekat Putatan. 

Menurutnya, program Corporate Social 
Responsibility (CSR) dengan kerjasama JPJ dan PEKAPS yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk meningkatkan motivasi para petugas barisan hadapan untuk terus berdedikasi dalam melaksanakan  tanggungjawab yang diamanahkan. — sumber Jabatan Penerangan Sabah

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *