Sabah FC seri lagi

KOTA KINABALU: Pada perlawanan persahabatan semalam ,skuad B-23 seri 1-1 dengan Sabah FC yang menyaksikan anak didik Maloney, T Saravanan menjaringkan gol pertama pada minit ke-76 sebelum Stuart Wilkins menyamakan kedudukan untuk tuan rumah pada minit ke-81.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee memuji skuad B-23 yang tidak gentar berhadapan pemain lebih berpengalaman dalam pasukan Sabah FC.

Bekas ketua jurulatih pasukan B-23 itu berkata Maloney dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan B-23 mempunyai pengalaman dan kepakaran yang luas untuk membentuk pemain muda yang berbakat dalam pasukan bola sepak Malaysia, sekali gus mampu membawa pemain ke peringkat seterusnya.

Ditanya mengenai empat pemain Sabah FC dalam skuad B-23 kebangsaan, Ong berkata bermain di peringkat antarabangsa akan menjadi pengalaman yang sangat berguna buat pemain muda dan beliau menasihatkan mereka untuk mengambil peluang itu bagi memperbaiki diri sebagai pemain bola sepak.

“Sama ada mereka berjaya ke skuad akhir untuk Kemboja atau tidak, yang penting mereka mendapat pengalaman dan pendedahan yang berguna… apabila mereka kembali dan bermain untuk Sabah FC, tahap keyakinan mereka akan lebih tinggi, sudah tentu saya akan memberi mereka peluang untuk bermain seperti perancangan saya untuk musim ini,” katanya.

Empat pemain Sabah itu ialah Mohd Nureizkhan Isa Japar, Gerald Gadit, Azhar Harraz Arman dan Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim.

Mengenai prestasi Sabah FC, Ong berkata secara keseluruhan pasukan itu telah menunjukkan peningkatan tetapi masih terdapat masalah ketumpulan di bahagian penyudah dan beliau berharap dua penyerang import iaitu Altemir Cordeiro Pessoa Neto, 27, dari Brazil dan Taiki Kagayama, 25, dari Jepun dapat menyelesaikan masalah itu.

“Banyak kelemahan sebelum kami telah perbaiki keadaan itu dan pasukan bermain dengan lancar malam ini (malam tadi), kami cipta banyak peluang tetapi tidak dapat hasilkan jaringan… kami telah memberi peluang kepada penyerang tempatan tetapi mereka gagal realisasikannya, jadi kami mendapatkan penyerang import dan penyerang tempatan juga boleh belajar daripada mereka,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.