Rastislav Bozik bersama Stuart Wilkin mulakan latihan hari ini – Kim Swee

KOTA KINABALU: Jurulatih Kecergasan Sabah FC, Rastislav Bozik bersama pemain kacukan Malaysia – England, Stuart Wilkin memulakan sesi latihan hari ini selepas menandatangani kontrak pada 1 Januari lalu.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, Rasto berasal dari Slovakia mempunyai pengalaman luas dengan pernah bertugas bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Institut Sukan Negara (ISN) selama 10 tahun yakin mampu memantapkan tahap kecergasan pemain nanti.

“Kita sangat yakin kebolehan Rasto. Ini akan memberi satu kelebihan kepada Sabah FC berikutan Rasto mempunyai banyak pengalaman dalam bidang kecergasan sekali gus boleh berkongsi kepakarannya ketika berada dalam pasukan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi latihan di Stadium Likas petang tadi.

Kim Swee juga turut mengesahkan Stuart Wilkin pemain dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim hadir memulakan sesi menjalani latihan bersama-sama pasukan Sabah FC petang tadi.

“Kehadiran Stuart Wilkin dilihat mampu menambahbaik kekuatan jentera di bahagian tengah dengan digadingkan bersama-sama pemain sedia ada Baddrol serta Irfan.

“Ini sudah tentu memberi akan kelebihan kepada Sabah FC berikutan ramai pilihan pemain ada termasuk pemain import dari Korea, Park Taesu turut diikat semula untuk musim yang keempat.

“Hari ini merupakan minggu kedua kita berlatih. Pemain tempatan lain termasuk Rizal, Dominic serta Khairul Fahmi akan bersama-sama Sabah FC pada minggu hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai status pemain import Kim Swee berkata, setakat ini pemain import hanya akan hadir kemungkinan besar pada pertengahan atau penghujung Januari nanti.

“Kita perlu meneliti kualiti pemain import ini sebelum memutuskan untuk dikemukakan kepada pihak pengurusan sekali gus bersama-sama pasukan Sabah FC kelak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *