Keselamatan Sabah diperkukuh, pasukan khas ATM sedia digerakkan

SEMPORNA – Tahap keselamatan Sabah sentiasa diperkukuhkan dengan pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia diatur gerak, bagi mengawal kawasan dianggap ‘blind spot’.

Panglima 21 Gerup Gerak Khas, Mejar Jeneral Nubli Hashim berkata, kekuatan pasukan khas terdiri daripada pasukan elit tentera laut, udara dan darat ini, dipertingkatkan dari masa ke masa.

“Penglibatan pasukan khas ini penting, kerana konsep operasi mereka mampu mengawasi kawasan ‘blind spot’, yang tidak boleh dikawal secara dalam kumpulan besar.

“Mereka bergerak dalam kumpulan kecil dan berkeupayaan tinggi serta dapat diatur gerak dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Eksesais Gempur Bara Siri 1/2022 yang diadakan di Pulau Siamil di sini pada Rabu.

Sementara itu, Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, pihaknya tidak gentar dengan sebarang ancaman daripada pihak luar, sebaliknya mampu bertindak balas di luar dugaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, penambahan aset berteknologi tinggi seperti radar di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), berjaya mengekang jenayah rentas sempadan termasuk cubaan pendatang haram menyelinap masuk ke Sabah.

Menurutnya, pasukan tentera melalui ATB 2 menggagalkan lima percubaan masuk pendatang haram di Tawau, dengan 57 pendatang ditahan pada bulan lepas.

“Penempatan anggota dan penambahan peralatan teknologi tinggi membantu mengekang ancaman luar,” katanya.

Mengenai Eksesais Gempur Bara, Abdul Karim berkata, latihan selama lima hari yang berakhir pada Rabu, membabitkan pasukan khas tentera serta VAT69 daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, ia bertujuan menguji tahap kompetensi terhadap tugas dan peranan yang perlu dilaksanakan melibatkan semua elemen pasukan khas yang berada di bawah kawalan operasi ATB 2, yang sedang melaksanakan Op Pasir di pantai timur Sabah. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *