Kos makanan ayam antara punca bekalan di Sabah kurang

KOTA KINABALU: Kenaikan harga makanan import ayam antara 30 hingga 40 peratus ketika ini berbanding tempoh sama tahun lalu, selain penyakit menyumbang kepada penurunan bekalan ayam dan telur ayam di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata ramai penternak mengambil keputusan menyembelih ternakan mereka lebih awal bagi mengurangkan kos makanan yang meningkat.

Katanya, situasi itu mengakibatkan pengeluaran ayam dan telur berkurangan sekali gus menjejaskan bekalan di pasaran berikutan permintaan tinggi berbanding penawaran.

“Peningkatan harga makanan ayam diimport disebabkan harga pasaran tinggi bagi produk mentah menghasilkan makanan ayam seperti jagung dan kacang soya.

“Akibatnya, penternak terpaksa menyembelih ternakan lebih awal sekali gus menyebabkan gangguan terhadap rantaian bekalan termasuk penurunan pengeluaran telur ayam.

“Bagaimanapun, masalah peningkatan kos pengeluaran ayam dan telur ayam ini bukan hanya di Sabah. Harga bahan mentah haiwan ternakan adalah isu global, bukan isu tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas isu kekurangan bekalan ayam dan telur ayam di Sabah sejak kebelakangan ini yang menyebabkan pengguna menghadapi kesukaran mendapatkan bahan makanan itu.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, berkata penternak ayam di Sabah turut berdepan banyak isu lain yang menyebabkan mereka mengehadkan pengeluaran.

Katanya, ia termasuk penyakit sampar ayam yang gagal diatasi menerusi penggunaan vaksin sedia ada berikutan kehadiran varian baharu virus penyakit berkenaan seperti disahkan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), Normah Yusop, baru-baru ini.

Akibatnya, Jeffrey berkata virus berkenaan menyebabkan kematian ayam dalam jumlah yang banyak, sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran telur dan daging ayam di Sabah.

“Virus berkenaan turut menyebabkan ayam yang terselamat tidak membesar mengikut saiz biasa, selain kurang menghasilkan telur.

“Lebih memburukkan lagi situasi, penutupan sempadan menyebabkan penternak tidak dapat mengambil pekerja asing untuk memenuhi keperluan tenaga buruh di ladang ternakan.

“Jadi, penternak terpaksa mengurangkan ternakan yang ada mengikut kemampuan tenaga buruh yang mereka miliki ketika ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan kerajaan negeri akan mencari penyelesaian secepat yang mungkin bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan bahan makanan itu dengan kerjasama kerajaan Pusat. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *