Jeffrey timbang ambil tindakan undang-undang terhadap Al-Jazeera

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita antarabangsa Al-Jazeera berhubung satu artikel yang disifatkan sebagai fitnah terhadap dirinya.

Beliau mendakwa, kandungan artikel berkaitan perjanjian kredit karbon di Sabah dan kisah lama dikaitkan dengan dirinya yang disiarkan oleh portal berkenaan pada 2 Februari lalu adalah satu putar belit selain tidak bertanggungjawab.

Dakwanya, artikel itu ditulis berdasarkan kata-kata pemberi maklumat semata-mata, tanpa membuat semakan dengan kerajaan negeri yang meluluskan Perjanjian Konservasi Alam Semulajadi (NCA) berkaitan perdagangan kredit karbon.

Katanya, beliau turut menimbangkan tindakan sama terhadap bekas Ahli Dewan Negara, Adrian Lasimbang yang dipetik dalam artikel Al-Jazeera itu dan individu lain yang menyebarkan maklumat salah kepada awam, khususnya yang memfitnah dirinya.

“Saya menimbangkan mengambil tindakan undang-undang terhadap Al-Jazeera dan Adrian serta yang lain kerana secara aktif menyebarkan maklumat salah kepada awam, terutama yang memfitnah nama saya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas artikel disiarkan Al-Jazeera pada 2 Februari lalu yang antara lain membongkar dakwaan kisah di sebalik kelulusan NCA terbabit dan kaitan Jeffrey dengan individu mewakili syarikat dari Singapura yang dilantik mengendalikan perdagangan kredit karbon.

Artikel itu turut membongkar dakwaan salah laku yang pernah dikaitkan dengan Jeffrey sepanjang tempoh beliau menjadi Pengarah Yayasan Sabah antara 1986 hingga 1993, ketika zaman pentadbiran kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), berkata tindakan Al-Jazeera itu tidak bertanggungjawab kerana apa yang ditulis adalah dakwaan palsu dibuat individu tertentu yang mahu memburukkan NCA terbabit.

Beliau berkata, pemberi maklumat yang sama turut mengelirukan dan mengeksploitasi Adrian berhubung isu berkenaan.

“Jelas, kedua-dua Al-Jazeera dan Adrian membentuk pendapat mereka sendiri berhubung topik ini berdasarkan pembohongan, maklumat salah diberikan kepada mereka oleh individu tertentu yang bermotif politik dan menghasut komuniti anak negeri dengan memfitnah saya,” katanya.

Jeffrey mendakwa, Al-Jazeera turut memfitnahnya berdasarkan maklumat disediakan pemberi maklumat tanpa mengambil peduli untuk menyiasat kebenarannya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *