Skim Insurans Pertanian Akan Dilancarkan Tahun Ini

PUTRAJAYA, 10 Feb – Skim insurans dan takaful yang memberi perlindungan kepada penggiat industri pertanian dan agromakanan dijangka akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sebagai permulaan ia akan diperkenalkan kepada subsektor padi beras sebelum diperluaskan ke subsektor lain.

“Pada masa ini, skim ini dalam proses perbincangan dan akan dimaklumkan pencapaiannya dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi Dialog Industri Agromakanan di kementeriannya pada Khamis.

Menurutnya, Agrobank yang telah diberi mandat untuk menerajui usaha itu telah mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia untuk menawarkan produk tersebut.

“Di rantau ini Malaysia agak terkebelakang kerana boleh dikatakan rata-rata negara lain mempunyai insurans pertanian,” katanya.

Beliau berkata, skim insurans pertanian dan takaful merupakan suatu keperluan yang perlu disediakan melibatkan jalinan kerjasama sektor swasta.

“Ketika ini, apabila sawah menghadapi bencana alam dan penyakit, kerajaan menanggung RM80 juta bagi tempoh lima tahun untuk memberi bantuan serta dana kepada pesawah,” katanya.

Ronald sebelum itu meluangkan masa lebih tiga jam mendengar permasalahan serta cadangan daripada pemain industri pertanian dan agromakanan merangkumi subsektor padi, tanaman, ternakan serta perikanan.

Dialog tersebut merupakan salah satu inisiatif MAFI dalam menyediakan platform komunikasi dua hala secara terus dengan pemain industri selaras dengan pendekatan whole of government dan whole of society.

Lebih 200 orang peserta secara fizikal dan 1,000 orang menyertai dialog tersebut menerusi dalam talian.

Turut hadir, Timbalan Menteri II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid yang juga bertindak sebagai panel pada sesi tersebut.

Sementara itu pada perkembangan lain, Ronald berkata, MAFI sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan bagi mekanisme penyaluran subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam.

“Satu mekanisme menyeluruh telah dibentangkan yang mana ia melibatkan pemantauan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan disalurkan menerusi Agrobank,” katanya.

Pada Rabu, Jemaah Menteri bersetuju memberi subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam dan lima sen bagi setiap biji telur untuk semua jenis kategori.

“Pengumuman semalam (Rabu) diharap akan merancakkan pengeluaran ayam dan telur negara serta menstabilkan bekalan bagi memenuhi keperluan,” katanya.

— Berita Bersatu

Leave a Reply

Your email address will not be published.