Empat wakil STAR dalam jawatankuasa GRS perlihatkan kerajaan baharu serius mengenai manifesto Aku Janji

KOTA KINABALU: Sayap pemuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengucapkan tahniah kepada empat ahlinya, termasuk presiden parti, atas pelantikan mereka ke dalam jawatankuasa Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Wiramuda STAR, Rizal Johari berkata barisan inklusif terbabit menunjukkan bahawa kerajaan sekarang serius untuk memenuhi manifesto pilihan raya ‘Aku Janji’.

“Saya senang dan gembira melihat perkembangan ini kerana ianya menunjukkan bahawa Kerajaan GRS tidak terpengaruh oleh kemelut politik di Semenanjung Malaysia.

“Sayap pemuda STAR optimis berita ini akan menghentikan tanggapan bahawa GRS berada di landasan yang goyah,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Empat anggota STAR iaitu presiden parti Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Presiden, Datuk Ellron Angin, Setiausaha Agung Datuk Guandee Kohoi dan Penolong Setiausaha Agung, Ardino Diris dinamakan dalam jawatankuasa GRS yang dianggotai oleh 27 ahli, semalam.

Sementara itu, Rizal menggesa semua pihak untuk menyambut baik dan menyokong penuh gencatan-politik yang mungkin akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat dalam berdepan wabak COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

“GRS mempunyai mandat daripada rakyat untuk menjadi pemerintah negeri ini. Pihak pembangkang harus menghormati mandat itu. Pilihan raya negeri sudah berakhir dan inilah masanya untuk berkhidmat sepenuhnya.

“Kerajaan negeri yang dipimpin oleh GRS mempunyai kurang daripada lima tahun sahaja untuk membuktikan yang gabungan ini mampu untuk membangunkan negeri Sabah jauh lebih baik dari sebelumnya.

“Mereka mesti diberi kesempatan untuk melaksanakan aspirasi rakyat. Susunan kabinet sekarang dipilih dari gabungan pemimpin yang berpengalaman, bijaksana dan mempunyai citarasa politik yang segar. Sayap pemuda STAR yakin bahawa gabungan GRS ini akan melaksanakan apa yang telah dijanjikan, “katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *