Hassan hantar surat letak jawatan sebagai ADUN Sebatik

Oleh: Ranya Saai

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan S Gani Pg Amir telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai ADUN sekitar jam 12:15 tengah hari tadi.

Di dalam surat yang bertarikh 26 Februari itu telah dihantar ke pejabat Speaker di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah memaklumkan peletakan jawatan beliau berkuat-kuasa dengan serta-merta.

“Selaras dengan Ikrar Kesetiaan saya kepada Parti Warisan Sabah, saya dengan ini menyerahkan dan memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dengan serta-merta.

“Saya faham bahawa dengan tindakan saya ini, saya tidak akan layak untuk menjadi calon untuk Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah selama lima tahun bermula dari tarikh surat ini,” jelasnya dalam kandungan surat terbabit.

Surat itu dihantar oleh Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama dengan salinan surat dari firma guaman yang dilantik oleh Hassan.

Surat firma guaman yang bertarikh hari ini menyatakan firma itu telah diarahkan untuk menyerahkan surat peletakan jawatan Hassan.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Hassan mengumumkan keluar parti atas alasan WARISAN masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat dan memutuskan untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam perkembangan lain, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata akan meneliti tindakanย undang-undang terhadap Hassan berikutan beliau melanggar ikrar untuk tidak mengkhianati rakyat yang dilafaz dan ditandatanginya sebelum ini.

Menurutnya, ikrar terbabit dibuat apabila Hassan bersama pemimpin lain WARISAN dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada September lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *