Warisan ‘takut’ tuntut hak minyak, gas dari Dr M, kata Masing

KUCHING: Seorang timbalan ketua menteri Sarawak mendakwa kerajaan Sabah pimpinan Warisan tidak menuntut hak minyak dan gas daripada Putrajaya kerana “takut” kepada perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Ia susulan Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan berkata, negeri itu akan berusaha memeterai perjanjian komersial dengan Petronas seperti dilakukan kerajaan Sarawak sebelum ini.

Dalam kenyataan, James Masing, seorang daripada tiga timbalan ketua menteri Sarawak berkata, mereka sebenarnya pernah mengajak kerajaan Sabah pimpinan Warisan untuk turut sama memfailkan saman terhadap Petronas berhubung 5% cukai jualan produk petroleum.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak juga mahu Warisan berhenti berpura-pura kerana mereka sebenarnya yang memperjuangkan hak dan kepentingan kedua-dua negeri Borneo itu.

“Tetapi, saya ditegur oleh seorang menteri Warisan yang menyifatkan saya sebagai seorang budak nakal yang kurang berdisiplin.

“Sebab kenapa Warisan enggan menyertai kami, kerana mereka takut kepada Mahathir yang merupakan perdana menteri sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Januari tahun lalu, kerajaan Sarawak mengenakan 5% cukai jualan ke atas produk petroleum daripada Petronas bawah Ordinan Cukai Jualan 1998 negeri tetapi syarikat petroleum kebangsaan itu enggan membayar dan menjurus kepada proses kehakiman.

Sejak itu, Petronas dan Sarawak memeterai satu perjanjian berhubung perkara berkenaan, dengan syarikat petroleum itu bersetuju membayar cukai jualan dan menyepakati perjanjian komersial berhubung pengurusan sumber minyak dan gas di negeri berkenaan sebagai sebahagian penyelesaian.

“Sekarang, kerajaan Sabah yang baharu sedar bagaimana aset minyak dan gas mereka dieksploitasi oleh Petronas, justeru, mereka mahu menuntut sebahagian hasilnya. Semoga mereka berjaya,” kata Masing.

Sumber: FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *