UMNO Sabah kekal dengan GRS, demi kesejahteraan rakyat – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah ditadbir GRS masih berfungsi seperti biasa dan menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat negeri.

Katanya, UMNO Sabah kekal dengan pendirian bersama rakan komponen dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk mempertahankan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jelasnya, pendirian itu turut dinyatakan pihaknya dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kita tetap mempertahankan GRS dan terus menghormati mandat rakyat. Kita baru sahaja mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Kerajaan GRS masih berfungsi bagi menjalankan tugas kesejahteraan demi rakyat Sabah,” katanya ringkas ketika dihubungi¬† oleh Astro AWANI.

Bung Moktar berkata demikian bagi mengulas isu kemelut UMNO Pusat yang menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin semalam.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung senario politik semasa yang berlaku di Semenanjung sebaliknya menetapkan Sabah tetap mempertahankan intitusi pentadbiran sedia ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *