Dr Joachim, Joniston dijangka tanding jawatan Timbalan Presiden PBS

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dijadual mengadakan pemilihan, akhir bulan ini, yang antara lain bakal menyaksikan pertandingan jawatan Timbalan Presiden.

Pemilihan pada Persidangan Agung Tahunan Ke-36 dan Ke-37 parti itu dijangka membabitkan persaingan antara Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, dengan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai.

Dr Joachim yang kini menyandang jawatan Naib Presiden PBS, adalah antara pemimpin senior parti itu yang bertahan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang selama lima penggal sejak 2004.

Joniston yang memiliki latar belakang sebagai bekas wartawan pula dianggap sebagai pemimpin baharu PBS meskipun kini menyandang jawatan Setiausaha Agung parti itu, berikutan baru melalui tiga pilihan raya dan menjadi ADUN Kiulu sejak 2013.

Mengulas persaingan antara dua pemimpin berkenaan, penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Lee Kuok Tiung, menyifatkan penentuan siapa lebih sesuai memegang jawatan kedua tertinggi PBS itu adalah subjektif dengan bergantung pada kriteria perwakilan yang akan membuat pilihan.

“Kita sedia maklum bahawa pada pemilihan lalu, Joniston juga bertanding jawatan Timbalan Presiden PBS tetapi beliau dikatakan menarik diri pada saat akhir atas nasihat pucuk pimpinan parti supaya memberi laluan kepada penyandang sekarang, Datuk Seri Radin Maleh yang lebih senior untuk jawatan itu.

“Dari segi tempoh pembabitan dalam PBS, sudah tentu Dr Joachim ada kelebihan, manakala Joniston sebagai bekas wartawan pula dilihat mempunyai PR (perhubungan awam) yang lebih baik,” katanya.

Kuok Tiung berkata, Joniston dilihat berjaya melaksanakan beberapa usaha memantapkan parti seperti pendaftaran keahlian secara dalam talian dan penerbitan ringkasan catatan sejarah perjuangan PBS.

“Dr Joachim pula adalah ADUN selama lima penggal, namun dilihat tidak berapa lantang. Apapun, saya melihat beliau melakukan tugas yang baik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah,” katanya.

PBS mempunyai tiga kuota jawatan Timbalan Presiden, masing-masing mewakili Bumiputera bukan Islam yang disandang oleh Radin ketika ini; Bumiputera Islam yang disandang Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; dan bukan Bumiputera disandang bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Yee Moh Chai.

Difahamkan, hanya jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera bukan Islam bakal ada pertandingan selepas Radin dilapor menyatakan hasrat tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2018 itu, manakala penyandang dua lagi kuota pula dijangka mengekalkan jawatan masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dijangka kekal menyandang jawatan Presiden PBS berikutan tiada pencabar.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *