Sistem perparitan, saliran di Lumadan harus diselanggara dua kali setahun

KOTA KINABALU: Sistem perparitan dan saliran di Lumadan harus diselanggara sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi mengelak banjir kerap berlaku di beberapa kawasan kampung di kawasan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata terdapat sembilan buah kampung di kawasan jagaannya yang sering terjejas disebabkan banjir.

“Sebanyak sembilan kampung yang selalu terjejas akibat banjir iaitu Kampung Lingkungan, Kampung Inuman, Kampung Maraba, Kampung Banting, Kampung Pulai Manag, Kampung Bukau, Kampung Tamalang Along, Kampung Lumadan dan Kampung Padas Valley.

“Isu banjir sering menghantui rakyat di di Lumadan. Setiap kali hujan lebat, rakyat sudah pasti rasa gelisah dan tidak dapat tidur lena kerana bimbang rumah mereka dinaiki air.

“Banjir ini sudah pasti menyukarkan kehidupan penduduk kampung selain merosakkan harta benda mereka. Oleh itu, saya merayu supaya sistem perparitan dan saliran di sembilan kampung yang sering dilanda banjir ini diselanggarakan sekurang-kurangnya dua kali setahun,” katanya dalam sesi perbahasan mengenai Belanjawan Sabah 2021 bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Dalam pada itu, Ruslan yang juga merupakan wakil rayta Parti Bersatu Sabah (PBS) itu turut berkata agar kerajaan negeri dapat menambah pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada 50 buah setahun di Lumadan.

“Setakat yang ada, hanya ada lima buah PPRT setahun dibina dan ini tidak dapat menampung keperluan penduduk semasa.

“Saya sebagai wakil rakyat di Lumadan berharap penambahan pembinaan rumah PPRT ini akan dapat mensejahterakan rakyat saya.

“Jumlah penduduk yang memerlukan bantuan rumah di Lumadan semakin ramai dan memohon sekiranya kerajaan negeri dapat menambah jumlah pembinaan rumah PPRT ini.

“Ini memenuhi objektif PPRT iaitu meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin tegar dan miskin dengan membina atau membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa,” katanya.

Sementara itu, Ruslan juga turut memohon suntikan dana dari kerajaan negeri bagi membangunkan beberapa koperasi komuniti di Lumadan.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *