Sentiasa amalkan integriti – Arifin

KOTA KINABALU: Semua warga Pejabat Tugas-Tugas Khas serta agensi di bawahnya diingatkan agar sentiasa mengamalkan integriti.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata amalan tersebut penting dalam usaha melahirkan perkhidmatan yang cekap dan berkualiti kepada para pelanggan.

“Sebagai penjawat awam terutama yang beragama Islam, amalan nilai-nilai Islam dalam kehidupan sebenarnya mampu menjadikan kita seorang yang berintegriti.

“Ini kerana keimanan dan ketakwaan akan menjadi benteng dalam kehidupan, kurangnya amalan integriti akan membawa implikasi besar contohnya, wujudnya budaya rasuah dalam kalangan pegawai dan juga pihak lain.

“Dalam hal ini Allah SWT mengingatkan kita semua agar tidak mengamalkan rasuah,” jelas beliau ketika ditemui media selepas merasmikan Penutupan Minggu Integriti Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan Agensi di bawahnya di Dewan Saadah MUIS, pada Selasa.

Mengenai minggu integriti, Airifin berharap program yang dilaksanakan itu dapat memberi impak positif kepada semua dan menjadikan organisasi Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan agensinya berdaya saing dan mengamalkan daya saing untuk terus maju dan berintegriti.

“Minggu integriti merupakan usaha memberi kesedaran dan memupuk nilai-nilai murni agar membudayakan integriti secara istiqomah dalam kalangan pegawai dan kakitangan.

“Integriti terbahagi kepada dua iaitu Integriti individu merujuk kepada himpunan kualiti unggul dalam kumpulan individu berteraskan prinsip teguh kepada kejujuran dan bermoral tinggi.

“Kedua, integriti organisasi meliputi perumusan dan pelaksanaan Pelan Anti Rasuah, piagam pelanggan dan proses kerja serta pematuhan amalan terbaik.

Antara yang terlibat dalam program berkenaan ialah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Besar Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan Jabatan Kehakiman Syariah.

Turut hadir, Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Sapdin Ibrahim, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Saifulzaman Sanggul, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah, YAA Ahmad Din OKK Othman, Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah, Ramlan Ag. Ali dan Pengurus Besar Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Dr. Awang Faisal Assyiffa Awang Rahim.

Selain itu, pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi turut diadakan dalam Perasmian Penutupan Minggu Integriti Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan agensi di bawahnya.-PENERANGAN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *