Semua harus bersatu di bawah GRS – Hajiji

KUDAT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah platform terbaik untuk semua parti di Sabah bersatu padu dan membawa pembangunan kepada negeri dan rakyatnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tiada cara lain selain untuk semua bersatu di bawah satu parti iaitu GRS.

“Kita tidak mempunyai alternatif lain selain berbuat demikian kerana kita telah lama tidak bersatu,” katanya

Beliau berkata demikian semasa program Jelajah GRS Kudat di Dataran Tomborungus di sini hari ini.

“Tidak kira betapa berpengalaman atau hebatnya kita, kita tidak akan dapat melindungi Sabah, hak kita dalam Persekutuan Malaysia jika kita tidak bersatu,” kata pengerusi GRS itu.

Hajiji juga yakin Kerajaan Negeri yang ada sekarang merupakan satu kerjasama antara GRS dan Barisan Nasional (BN) akan kekal kukuh.

“Saya yakin Barisan Nasional Sabah mempunyai pendirian tersendiri dalam memastikan melindungi hak Sabah. Tidak perlu dipengaruhi landskap politik sebelah sana,” katanya.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri telah berjaya mendapatkan banyak hak negeri daripada Kerajaan Persekutuan dengan yang terbaru ialah pembentukan Suruhanjaya Tenaga Sabah dijangka menjelang tahun depan.

“Pendirian GRS mengenai MA63 adalah konsisten. Kami akan terus berjuang untuk apa yang menjadi milik kami,” katanya.

Majlis turut dihadiri Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Presiden PBS Datuk Dr Joachim Gunsalam, Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, Presiden Usno Tan Sri Pandikar Amin, Penyelaras GRS Kudat Datuk Dr Ruddy Awah, Bendahari Bersatu Sabah Datuk Arifin Arif, Setiausaha Bersatu Sabah, Datuk Razali Radzi dan Ketua Srikandi Sabah Datuk Azizah Dun.

Terdahulu, Hajiji bertemu dengan ketua bahagian Bersatu Kudat di Kampung Ayer dan kemudian menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Golf Piala Ketua Menteri 2022 di Kudat Golf Club. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published.