Kerajaan tak sempurna, tapi ‘kita’ mesti ada solidariti, rayu PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa kerajaan pimpinannya “tidak sempurna” namun ia sama sekali tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita semasa pandemik Covid-19.

Katanya, beliau faham rakyat dalam keadaan resah dan bimbang melihat peningkatan angka kes harian Covid-19, namun kerajaan sedang berusaha “sedaya mungkin” untuk mengatasi kemelut itu.

“Yang penting kita mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini. Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari,” katanya di Dewan Rakyat pada hari pertama mesyuarat khas hari ini.

Muhyiddin mengingatkan wakil rakyat bahawa ketika ini “ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala petugas barisan depan terus terbeban dan hospital semakin tertekan”.

“Marilah kita berganding bahu,” rayunya kepada Ahli Parlimen.

Perdana Menteri berkata, kerajaan memahami rakyat berada dalam keadaan resah dan bimbang apabila angka kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan.

Katanya, kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang dihadapi dengan mempercepatkan program vaksinasi.

“Malaysia hari ini antara negara yang terpantas memvaksinasi penduduknya,” katanya. – Sumber Berita FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *