Sistem Pembayaran Elaun JPKK Akan Diperbaiki – Jahid
KIULU: Kerajaan negeri akan memperbaiki sistem pembayaran elaun bagi pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, kementeriannya turut merangka takwim agar elaun JPKK dibayar pada tarikh yang sama dengan pembayaran gaji kakitangan kerajaan dan ketua kampung. Katanya, penambahbaikan berkenaan adalah usaha untuk menyelesaikan masalah tunggakan elaun JPKK sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini. Menurutnya, isu itu juga sering menjadi keluhan JPKK berikutan elaun mereka yang tertunggak sehingga berbulan-bulan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi JPKK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu di sini pada Selasa. Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, kementeriannya juga merangka untuk memberi kursus kepimpinan kepada semua badan JPKK terpilih di Sabah.
“Ini bagi memastikan sebanyak 2,853 badan JPKK di negeri ini dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan dengan prihatin, adil, jujur, setia, dan mesra rakyat.
“Semua pemimpin JPKK perlu memberi perkhidmatan yang terbaik di samping sentiasa berlaku adil kepada rakyat.
“Apabila kita berlaku adil, khidmat kita juga tidak akan ada sempadannya,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, lebih 49 peratus watikah pelantikan sudah disampaikan kepada pengerusi JPKK di seluruh Sabah. Sementara itu, ADUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai berkata, sebagai pemimpin, pengerusi JPKK perlu bersedia untuk menerima segala kritikan dengan hati terbuka.
“Jangan lemah semangat dengan apa juga kritikan, sebaliknya kita bertindak balas dengan memberi khidmat yang terbaik,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 94 pengerusi JPKK DUN Kiulu menerima watikah pelantikan daripada Jahid.