Sabah nafi halang Ebit Liew teruskan misi bantuan di Semporna

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menafikan ada mengeluarkan arahan melarang penceramah bebas, Ebit Lew meneruskan kerja amal di pantai timur Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata pihaknya juga merujuk sama ada polis atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ada mengeluarkan larangan terhadap penceramah berkenaan.

“Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada sesiapa sahaja untuk melaksanakan kerja kebajikan di negeri ini. Polis dan ESSCOM juga menyatakan perkara sama.

“Cuma, di pantai timur Sabah tertakluk kepada peraturan perintah berkurung, malah dilarang pergi ke tempat tertentu kerana ada risiko keselamatan.

“Polis dan Angakatan Tentera Malaysia (ATM) memandang berat perkara ini agar tidak menjadi sasaran sebarang cubaan jenayah,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya kerajaan negeri mengeluarkan arahan agar pihak berkuasa menghalang Ebit meneruskan aktiviti amal di Semporna hari ini.

Masidi berkata, tiada larangan dikenakan terhadap sesiapa termasuk penceramah bebas untuk melaksanakan kerja kebajikan, malah program seumpama itu juga disokong pihak polis.

“Namun, program itu perlulah dilaksanakan pada masa ditetapkan, bukan ketika masa larangan.

“Ini kerana Semporna berada dalam Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE). Kita bukan mahu menakutkan sesiapa tetapi kenyataannya kawasan ini masih berbahaya untuk dilawati dan masih tertakluk kepada perintah berkurung,” katanya.

Perintah Berkurung di kawasan ESSZONE termasuk Semporna dilaksanakan sejak 2013 berikutan peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu bagi mengekang ancaman rentas sempadan termasuk penculikan yang didalangi anggota militan dari selatan Filipina.

Ebit dalam perkongsiannya di akaun Facebook beliau hari ini menyatakan tidak dapat meneruskan misi bantuan di beberapa pulau di Semporna kerana tidak dibenarkan ke pulau terbabit selain diminta menghentikan bantuannya di daerah itu.

Beliau juga menyatakan terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang dirancangnya walaupun sudah menyediakan peralatan seperti kayu.

Berikutan situasi di Semporna itu, katanya beliau terus ke Tawau untuk menunggu penerbangan pulang.

Semalam, Ebit menyatakan berjaya mengislamkan seramai 490 orang masyarakat Bajau Laut atau Pala’u dari empat kampung di pulau-pulau sekitar perairan Semporna ketika menghantar bantuan makanan kepada penduduk di kawasan terbabit. — sumber Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *