Sabah-Sarawak memeterai perjanjian

KOTA KINABALU : Sabah menerusi syarikat utiliti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membuat perjanjian pada Jumaat untuk mendapatkan bekalan elektrik
dari Sarawak. Buat permulaan, Sabah akan mengimport 30MW untuk jangka masa 15 tahun melalui talian transmisi litar berkembar 275kV sepanjang 31km dari Lawas di Sarawak ke Mengalong di Sabah.

Sambungan itu dijangka bermula pada akhir tahun 2023 setelah pembesaran grid di bawah Agenda Bahagian Utara Sarawak Energy yang menghubungkan Miri dengan bandar-bandar di utara Limbang dan Lawas di Sarawak. SESB menandatangani perjanjian itu dengan anak syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB), Syarikat SESCO Berhad.

Menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Sabah-Sarawak Power Exchange Agreement dan Perjanjian Sambungtara secara maya di sini pada
Jumaat, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan negeri menyambut baik inisiatif itu kerana ia akan meningkatkan sistem pembekalan elektrik di Sabah.

“Usaha ini akan membantu memacu pembangunan Sabah seperti yang digariskan dalam pelan pembangunan lima tahun, Hala Tuju Sabah Maju Jaya
(SMJ) yang dilancarkan pada awal tahun ini. “Ini kerana bekalan elektrik yang stabil amat penting untuk menjayakan agenda pembangunan SMJ yang berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan,” katanya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Perjanjian itu akan menjadi langkah permulaan yang penting ke arah merealisasikan visi bersama (Common Goal) BIMP-EAGA iaitu untuk menghubungkan infrastruktur di antara negara-negara ASEAN dengan pembinaan Asean Power Grid (APG) yang secara langsung akan memperbaiki
tahap ekonomi negara-negara terlibat.

Ketua Menteri berkata pembekalan elektrik yang lebih stabil secara langsung akan meningkatkan pelaburan dari dalam dan luar negara dan menyokong
pertumbuhan sektor perindustrian pengilangan serta hiliran (upstream) disamping membuka peluang pekerjaan dalam sektor industri berat dan ringan.

Lebih penting lagi katanya, ia akan memperbaiki tahap sosio-ekonomi terutama di kawasan luar bandar. Hajiji berkata bahawa perjanjian itu sesuai dengan visi SESB untuk menjadi sebuah syarikat tenaga yang efektif, berwibawa dan pemangkin kepada pembangunan negeri Sabah.

“Justeru dalam persekitaran industri tenaga yang semakin mencabar dan harapan pengguna yang semakin tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan yang berdaya harap, usaha-usaha seperti ini adalah sesuatu yang amat penting kepada SESB.

“Menerusi perjanjian ini, kerajaan negeri berharap hubungan yang lebih erat antara negeri Sabah dan Sarawak serta lebih banyak kerjasama menyusul untuk kebaikan dan faedah bersama kedua-dua kerajaan negeri serta rakyatnya,” katanya.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk
Haji Sharbini Suhaili yang mewakili Syarikat SESCO Berhad.

Majlis secara maya itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dari Wisma
Bapa Malaysia Petra Jaya di Kuching.

Yang turut hadir menerusi Zoom ialah Pengerusi Tenaga Nasional Berhad/SESB, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din dan Pengerusi SEB, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi

Leave a Reply

Your email address will not be published.