STAR tidak akan lindungi ahli yang salah, cemarkan nama parti

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tidak akan melindungi mana-mana ahli yang terlibat dengan kesalahan hingga mencemarkan nama baik parti.

Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan turut kesal dengan kejadian membabitkan seorang ahli STAR yang didakwa berkelakuan tidak senonoh terhadap seroang peserta unduk ngadau.

Menurutnya, tindakan ahli terbabit mengakibatkan nama baik STAR terjejas hingga menyusahkan ahli-ahli STAR yang lain.

Katanya, secara langsung kejadian itu turut mendedahkan parti  terhadap serangan-serangan daripada pihak lawan politik mereka.

“Individu ini bertindak mengikut kemahuannya sendiri dan tidak ada kaitan dengan parti STAR. 

“Sebarang usaha untuk menyeret parti ke dalam perkara ini adalah tidak bertanggungjawab dan perlu dikecam.

“Saya menyeru semua ahli dan penyokong parti supaya berdiri teguh di belakang kepimpinan parti. Janganlah individu-individu yang hanya tahu bersembunyi di sebalik nama parti,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, tindakan parti menggantung semua jawatan ahli berkenaan dalam parti membuktikan kesungguhan pihaknya dalam menangani isu terbabit.

Katanya, lembaga disiplin parti akan bersidang dalam masa terdekat ini untuk memutuskan status keahliannya.

Dalam pada itu, Jeffrey turut menyokong saranan yang dibuat oleh Pengerusi Induk Ahli-ahli Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Joanna Kitingan yang menyeru semua mangsa untuk tampil membantu dalam siasatan polis.

Leave a Reply

Your email address will not be published.