Sabah negeri terbaik mengurus pandemik COVID-19

RANAU: Sabah menjadi antara negeri terbaik dalam mengurus pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia dapat dilihat menerusi nilai kerja yang cukup terpuji dikalangan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi mengharungi pandemik COVID-19.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya ingin merakamkan setinggi terima kasih atas pengorbanan, kerja keras semua doktor dan kakitangan JKNS serta semua yang terlibat kerana mempamerkan satu nilai kerja yang cukup terpuji semasa kita mengharungi pandemik ini.

“Selaku Menteri bertanggungjawab untuk menyelaras usaha menangani pandemik di Sabah, terus terang saya katakan, saya begitu bangga dengan kerja usaha semua petugas sehingga Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan Sabah merupakan negeri terbaik di Malaysia mengurus pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan  Seminar Pemantapan Nilai-Nilai Murmo (Majlis Tilawah Al-Quran dan Ceramah Perdana) Peringkat negeri Sabah di Dewan Masyarakat Ranau di sini semalam.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata, meskipun jumlah jangkitan yang dilaporkan tinggi pada setiap hari namun hanya melibatkan pesakit pada kategori satu dan kategori dua.

“Pada hari ini meskipun kes-kes yang dilaporkan agak tinggi tetapi yang amat menakjubkan ialah hampir keseluruhan 98 peratus kes adalah kategori satu dan dua,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Sabah juga terkenal sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa mengamalkan sikap toleransi yang baik dikalangan masyarakat setempat.

Katanya, sikap bertoleransi juga amat penting dalam kalangan rakyat Sabah yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama dalam satu keluarga sama ada Islam mahupun bukan Islam.

“Di Sabah ada Dusun, ada Kadazan dan pelbagai lagi suku kaum namun kita tidak merasakan itu sebagai satu perbezaan kerana apa yang penting adalah sikap toleransi yang paling tinggi di Malaysia.

“Selain itu salah satu tarikan berkesan para pelancong datang ke Sabah juga melalui sikap toleransi rakyat yang begitu tinggi.  Justeru saya berharap ini akan dapat diterjemahkan di peringkat jabatan atau agensi lain agar kita dapat mengekalkan keunikan di Sabah,” katanya.

Justeru Masidi mahu semua penjawat awam khususnya kakitangan JKNS untuk mengekalkan keharmonian toleransi yang tinggi selain menganggap rakan sekerja sebagai sahabat mahupun saudara sendiri.

“Saya pasti pandemik di Sabah dapat ditangani dengan baik dengan adanya kerjasama yang erat antara doktor dan kakitangan perubatan yang lain di JKNS, bila mana kerjasama itu erat maka ia akan dapat kita tangani dengan berkesan,” katanya. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published.